KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menjelaskan langkah-langkah yang telah diambil bagi menangani masalah kegawatan ekonomi 2023 untuk meminimumkan kesan terhadap rakyat.
Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli bertanyakan soalan itu kepada Menteri Kewangan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Berikut ialah soalan daripada Ahli-ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL pada persidangan Dewan Rakyat yang bermula jam 10.00 pagi ini.
Puan Hajah Salamiah binti Mohd Nor [Temerloh] minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan apakah usaha yang dilakukan oleh Kementerian untuk memastikan penternakan ikan air tawar menjadi salah satu sumber utama pendapatan kepada penduduk tempatan.
Dr. Abd Ghani bin Ahmad [Jerlun] minta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan adakah Kerajaan bercadang mewujudkan pusat jagaan khas anak luar nikah di seluruh negeri di Malaysia dan sejauh manakah usaha-usaha yang diambil oleh Non-Government Organisation (NGO) diberi pengiktirafan dan bantuan oleh Kerajaan.
Tuan Mohd Syahir bin Che Sulaiman [Bachok] minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan langkah-langkah baharu yang diambil Kementerian untuk memastikan ‘ketersediaan’ kapasiti bekalan makanan negara memenuhi keperluan penduduk Malaysia yang semakin meningkat, melibatkan kapasiti pengeluaran tempatan, stok penimbal dan juga perdagangan.
Tuan Haji Wan Hassan bin Mohd Ramli [Dungun] minta Menteri Kewangan menyatakan langkah-langkah yang telah diambil oleh Kerajaan bagi menangani masalah kegawatan ekonomi 2023 untuk meminimumkan kesan terhadap rakyat Malaysia.
Dato’ Syed Abu Hussin bin Hafiz Syed Abdul Fasal [Bukit Gantang] minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan apakah perancangan Kerajaan bagi mengatasi masalah nelayan-nelayan zon A yang sudah lama berkerja sebagai nelayan (10 tahun) tetapi masih belum memiliki lesen nelayan 11.1 (A) daripada Jabatan Perikanan Malaysia.
Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee [Beluran] minta Menteri Kewangan menyatakan berapa hutang terkini Kerajaan Persekutuan dan nyatakan langkah-langkah yang sedang diambil oleh Kerajaan untuk mengurus hutang secara berkesan.
Tuan Haji Muhammad Islahuddin bin Abas [Mersing] minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan langkah Kerajaan bagi membantu meringankan kos sara hidup para petani dan status terkini skim bantuan kewangan kepada para petani yang terjejas hasil.
Tuan Wan Razali bin Wan Nor [Kuantan] minta Menteri Kerja Raya menyatakan jumlah perbelanjaan baik pulih jalan raya yang rosak bagi 10 tahun yang terakhir secara keseluruhan dan jumlah perbelanjaan baik pulih jalan raya yang rosak khusus disebabkan musim monsun (hujan) dan kesan banjir.
Dr. Radzi Jidin [Putrajaya] minta Menteri Kewangan menyatakan sama ada Kerajaan boleh memberi jaminan bahawa GST atau cukai yang mempunyai impak sama seperti GST tidak akan diperkenalkan semula.
Tuan Muhammad Ismi bin Mat Taib [Parit] minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan status menaiktarafkan projek Pengairan Luar Jelapang di rancangan Pengairan Jelapang Padi di daerah Perak Tengah bagi membantu menaikkan ekonomi masyarakat tempatan.
Dato’ Wira Dr. Ku Abd Rahman bin Ku Ismail [Kubang Pasu] minta Menteri Kewangan menyatakan sama ada Kerajaan akan tetap melaksanakan Global Minimum Tax Rate (GMTR) memandangkan ia boleh menjejaskan pelaburan dalam industri pembuatan di Malaysia khususnya dari luar negara (FDI).
Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal [Machang] minta Menteri Pendidikan menyatakan status penilaian berasaskan sekolah semenjak UPSR dan PT3 dimansuhkan. Berdasarkan piawaian yang berkuat kuasa sekarang, adakah keberkesanan pengajaran dan pembelajaran serta kemenjadian murid dapat dipantau dan diukur dengan tepat, dan sekiranya perlu, intervensi dibuat pada waktu yang diperlukan.
Datuk Wan Saifulruddin bin Wan Jan [Tasek Gelugor] minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan mengikut kawasan Parlimen dan DUN seluruh Malaysia:
(a) senarai penternak babi berlesen dan tidak berlesen dan anggaran kapasiti serta hasil setiap satu; dan
(b) senarai kompaun dan tindakan undang-undang yang telah diambil. Senaraikan penternak mana yang mematuhi dan tidak mematuhi tindakan yang dikenakan serta apakah rancangan Kerajaan untuk memastikan mereka yang terkesan oleh pencemaran dari ladang-ladang tersebut mendapat pampasan, khususnya pesawah dan nelayan darat di Parlimen Tasek Gelugor.
Tuan Jamaludin bin Yahya [Pasir Salak] minta Menteri Pendidikan menyatakan:
(a) adakah Kementerian menjalankan kajian semula secara menyeluruh terhadap sistem pendidikan KSSR yang dilaksanakan kini iaitu silibus subjek teras yang sangat tinggi di peringkat rendah; dan
(b) mewujudkan semula sistem peperiksaan agar membentuk persaingan sesama pelajar untuk lebih berjaya menguasai ilmu dan cemerlang dunia akhirat.
Tuan Mohd Nazri bin Abu Hassan [Merbok] minta Menteri Pendidikan menyatakan apakah hasil kajian yang diperoleh oleh Pasukan Petugas Dasar-UEC (PPD-UEC) berhubung kait dengan isu pengiktirafan terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan adakah Kerajaan akan memberi pengiktirafan kepada sijil tersebut.
Tuan Roslan bin Hashim [Kulim Bandar Baharu] minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan berhubung pembayaran 50 juta yang perlu dibayar oleh Tan Sri Syed Al Bukhari kepada pesawah mengenai pulangan yang harus diberikan oleh beliau yang juga pemegang syer dalam BERNAS. Apakah hanya beliau sahaja yang perlu untuk membayar kepada pesawah sedangkan terdapat juga syarikat- syarikat pengilang padi lain yang turut juga membeli padi daripada pesawah.
Tuan Shaharizukirnain bin Abd. Kadir [Setiu] minta Menteri Kewangan menyatakan:
(a) berapa jumlah hutang Kerajaan Negeri Terengganu kepada Kerajaan Persekutuan setakat ini; dan
(b) nyatakan berapa hutang yang telah dibayar oleh Kerajaan negeri sebaik sahaja diperintah oleh PAS selepas PRU14 sehingga kini.
Tuan Zakri bin Hassan [Kangar] minta Menteri Pendidikan menyatakan bilakah Kementerian Pendidikan akan mengubah sukatan pelajaran terutamanya sukatan pelajaran tingkatan 6 kerana ia sudah lama tidak disemak dan kurang relevan dengan keperluan masa kini.
Dr. Hajah Halimah Ali [Kapar] minta Menteri Pendidikan menyatakan bilakah Kementerian akan membina sekolah kebangsaan baharu untuk mengatasi masalah SK Rantau Panjang, Klang yang sudah terlalu padat.
Tuan Nurul Amin bin Hamid [Padang Terap] minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan apakah langkah yang diambil oleh Kementerian untuk membantu para petani, peternak dan nelayan yang mengalami kerugian akibat banjir Monsun Timur Laut di Kelantan dan Terengganu.
Dato’ Azman bin Nasrudin [Padang Serai] minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan apakah langkah-langkah Kementerian dalam membantu para petani dan penternak serta apakah langkah-langkah jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang Kementerian untuk menangani isu harga makanan ternakan ayam dan ternakan ruminan serta harga racun dan baja semakin meningkat.
Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz [Tanah Merah] minta Menteri Pendidikan menyatakan apakah perancangan masa hadapan Kementerian untuk mengoptimumkan kemudahan pusat latihan Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara yang ketika ini tidak digunakan sepenuhnya dan boleh merugikan perbelanjaan wang awam terutama dalam menampung kos kerja-kerja penyelenggaraan berterusan bangunan IPG dan juga perbelanjaan sumber manusia yang ditempatkan di IPG seluruh negara.
Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin bin Haji Mohd. Yassin [Pagoh] minta Menteri Kewangan menyatakan:
(a) adakah Kerajaan akan melaksanakan subsidi bersasar bagi mengurangkan beban fiskal negara; dan
(b) mekanisme pelaksanaan subsidi bersasar tersebut.
Tuan Sabri bin Azit [Jerai] minta Menteri Pendidikan menyatakan adakah penghapusan soalan tulisan Jawi di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bersifat kekal.
Dr. Ahmad Fakhruddin bin Fakhrurazi [Kuala Kedah] minta Menteri Pendidikan menyatakan mekanisme penempatan guru di sekolah-sekolah mengikut bidang kepakaran dan kemahiran terutamanya guru yang berpindah.
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki [Parit Buntar] minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan apakah alternatif yang boleh dicadangkan untuk kepentingan para pesawah terutama di daerah Kerian berkaitan penyelenggaraan infra sistem pengairan dan saliran di bawah IADA yang peruntukannya dikurangkan.
Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man [Kubang Kerian] minta Menteri Kewangan menyatakan:
(a) perincian jumlah kos pembinaan MRT3 terkini; dan
(b) senarai syarikat-syarikat Bumiputera dan syarikat-syarikat asing yang terlibat di dalam projek MRT3.
Tuan Zulkifli bin Ismail [Jasin] minta Menteri Pendidikan menyatakan apakah perancangan terkini Kementerian terhadap Kurikulum Bersepadu Dini (KBD) kepada sekolah harian kebangsaan.
Dato’ Hajah Siti Zailah binti Mohd Yusoff [Rantau Panjang] minta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan status perlaksanaan segala keputusan yang pernah diputuskan di dalam Majlis Sosial Negara sama ada akan diteruskan atau sebaliknya. – HARAKAHDAILY 15/3/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!