Kos keseluruhan projek MRT3 dianggar RM50.2 bilion

Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kos keseluruhan projek MRT3 adalah dengan anggaran RM50.2 bilion berdasarkan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 4 Mac 2022.

- Advertisement -

Menurut Kementerian Kewangan, jumlah itu merangkumi kos pengambilan tanah, kos infrastruktur merangkumi kos untuk kerja-kerja sivil dan binaaan (civil and construction works), kos pengurusan projek, reka bentuk dan aktiviti penyeliaan serta kos sistem kereta api yang merangkumi kos pembinaan landasan kerta api (trackworks), sistem komunikasi dan sistem kuasa tenaga.

“Buat masa ini, pihak kerajaan sedang memperincikan dan menyemak semula beberapa perkara mengenai projek MRT3 termasuk unjuran bajet yang telah diluluskan bertujuan memaksimakan nilai dan keberhasilan projek kepada pengguna khususnya di Lembah Klang di samping mengoptimumkan kos keseluruhan projek,” ujar kementerian dalam jawapan bertulis kepada soalan Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man [PN-Kubang Kerian] di Dewan Rakyat.

Tuan Ibrahim dalam soalannya minta Menteri Kewangan menyatakan perincian jumlah kos pembinaan MRT3 terkini dan senarai syarikat-syarikat Bumiputera dan syarikat-syarikat asing yang terlibat di dalam projek MRT3.

Kata kementerian itu, memandangkan projek ini merupakan projek infrastruktur rakyat yang dijangka memberi manfaat kepada pelbagai pihak, kerajaan mengalu-alukan penyertaan syarikat bumiputera dan syarikat asing dalam Projek MRT3.

Ini, katanya terbukti daripada manfaat yang diperolehi daripada syarikat tempatan dan bumiputera yang telah terlibat dalam Projek MRT1 dan Projek MRT2 sebelum ini.

Dalam projek-projek MRT sebelum ini, jelasnya syarikat bumiputera telah bermanfaat 44 peratus daripada keseluruhan nilai kontrak untuk Projek MRT1 dan 46 peratus daripada keseluruhan nilai kontrak untuk Projek MRT2.

“Bagi Projek MRT3, perolehan sebanyak 49 peratus nilai kerja adalah dijangka untuk syarikat bumiputera,” ujarnya.

Setakat ini, kata kementerian itu, hanya syarikat perunding pengurusan projek sahaja yang telah dilantik bagi Projek MRT3 iaitu Syarikat JV-HSS Integrated Sdn Bhd dan HSS Engineering Sdn Bhd.

Jelasnya, syarikat PMC dilantik sebagai perunding dan penasihat kepada MRT Corp dalam pelaksanaan projek MRT3 dari aspek teknikal seperti penyemakan reka bentuk terperinci (detailed design review) untuk bahagian sivil dan sistem, pemantauan dan penjadualan kemajuan projek, perancangan kegunaan tanah untuk proses pengambilan tanah serta memastikan pematuhan keperluan aspek kualiti, keselamatan dan alam sekitar. – HARAKAHDAILY 15/3/2023

- Advertisement -