Kesan kejatuhan SVB minimum

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kesan kejatuhan Silicon Valley Bank (SVB) di Amerika Syarikat (AS) terhadap institusi perbankan tempatan mendapat perhatian Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) yang membangkitkan isu itu di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau mengemukakan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim Chee Keong ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan..

- Advertisement -

Dalam soalannya, Mohd Syahir meminta kerajaan menyatakan langkah mitigasi awal Kementerian Kewangan (MOF), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bagi menangani kesan keadaan di AS terhadap sektor perbankan dan pasaran modal dalam negara.

Chee Keong ketika menjawab memberitahu bahawa kesan kejatuhan SVB adalah minimum dan terhad berdasarkan penilaian yang dibuat oleh pihak berkuasa negara ini.

Menurutnya, sistem perbankan Malaysia kekal berdaya saing dan berdaya tahan untuk terus melaksanakan peranan sebagai pengantara kewangan yang efektif.

“Dari segi peraturan permodalan dan peraturan mudah tunai, Malaysia mempunyai peraturan yang ketat dan ujian tekanan berkala turut dilaksanakan dalam sistem perbankan bagi memastikan sistem kita mempunyai kesiapsiagaan.

“Dasar monetari pula, perkara tersebut merupakan bidang kuasa BNM. MOF tidak terlibat dalam sebarang keputusan melibatkan dasar tersebut seperti yang termaktub dalam Akta Bank Negara Malaysia 2009,” katanya.

Menjawab soalan asal Azli Yusof (PH-Shah Alam) yang bertanya mengenai strategi MoF mengawal inflasi, kestabilan monetari dan kewangan yang kondusif, katanya antara strategi utama kerajaan adalah menerusi pemberian subsidi kepenggunaan serta kawalan harga dalam barangan keperluan terpilih.

Katanya, melalui langkah itu Malaysia mencatat kadar inflasi 3.3 peratus pada 2022 dan dijangka terus terkawal tahun ini. – HARAKAHDAILY 15/3/2023

- Advertisement -