Kenal pasti jelapang makanan negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan patut mengenal pasti negeri dan koridor pembangunan untuk dijadikan jelapang makanan negara secara bersepadu.

Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) berkata pengkhususan perlu dibuat kerana tumpuan yang perlu dilakukan sekarang ialah untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran makanan tempatan.

- Advertisement -

“Jadi bolehlah kerajaan mengenal pasti negeri dan koridor pembangunan untuk dijadikan pengkhususan di utara, timur serta Sabah dan Sarawak, dijadikan pengkhususan sebagai jelapang makanan negara secara bersepadu supaya dapat memenuhi keperluan makanan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bertanyakan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan di sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Chan Foong Hin ketika menjawab menyambut baik cadangan Ahli Parlimen Bachok dan sedia mengadakan perbincangan berhubung cadangan itu.

Mengikut soalan asal, Mohd Syahir meminta kerajaan menyatakan langkah-langkah baharu yang diambil untuk memastikan ‘ketersediaan’ kapasiti bekalan makanan negara memenuhi keperluan penduduk negara yang semakin meningkat, melibatkan kapasiti pengeluaran tempatan, stok penimbal dan perdagangan.

Foong Hin menjawab dengan memberitahu bahawa antara langkah baharu mengikut subsektor agromakanan ialah memperkasakan pengeluaran ikan makanan melalui akuakultur yang menyasarkan pengeluaran akuakultur berbanding perikanan tangkapan pada nisbah 60:40.

Selain itu, katanya perluasan penternakan secara fidlot dilakukan dengan memberi tumpuan kepada pemerkasaan lembu pedaging untuk mencapai Kadar Sara Diri (SSR) sebanyak 50 peratus pada 2030 seperti yang dinyatakan dalam Dasar Agromakanan Negara 2021-2023. – HARAKAHDAILY 15/3/2023

- Advertisement -