Kembalikan geran tanam semula kelapa sawit

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Perladangan dan Komoditi digesa mengembalikan geran penanaman semula kelapa sawit, terutama kepada pekebun kecil, kata Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu).

“Kalau kita lihat bahawa hari ini disebabkan harga sawit yang tinggi, kemungkinan ramai di kalangan pekebun sawit khususnya, kalau pemain industri kita tak bimbang.

- Advertisement -

“Mereka (pekebun kecil) menangguhkan program penanaman semula, mungkin disebabkan oleh harga yang tinggi. Kedua disebabkan oleh mungkin harga nak buat ‘replanting’ mahal,” katanya semasa perbahasan Belanjawan 2023 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perladangan dan Komoditi di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, akhirnya kesan buruk akan dapat dilihat pada dua atau tiga tahun akan datang dan ini sangat tidak bagus kepada sektor komoditi negara ini apabila pokok semakin tinggi dan tua menyebabkan pengeluaran menurun.

“Kalau kerajaan tidak lakukan sesuatu, kita bimbang dalam tempoh dua atau tiga tahun dari sekarang, ‘total production’ minyak sawit Malaysia akan berkurangan, terutama daripada sumbangan pekebun kecil.

“Jadi saya menyarankan dengan peruntukan yang besar ini, kerajaan menimbangkan untuk mengembalikan geran penanaman semula kelapa sawit, terutama kepada golongan pekebun kecil,” katanya.

Beliau berkata, geran ini wajar memandangkan jumlah geran yang diperuntukkan kepada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bertambah kepada RM73 juta pada 2023 berbanding RM29 juta pada 2022.

Selain itu, katanya geran ini wujud bagi industri getah, namun ketika ini tiada dalam industri sawit.

“Dalam industri kelapa sawit, sebenarnya dulu pernah mempunyai geran dan kemudian diubah menjadi pinjaman di bawah pengendalian Agro Bank.

“Saya dimaklumkan bahawa kebanyakan pekebun kecil hanya menggunakan lima peratus daripada peruntukan ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/3/2023

- Advertisement -