Isu harga ayam pun tidak boleh selesai

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukit Gantang) mempertikaikan usaha kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menoktahkan kemiskinan jika isu harga ayam pun belum dapat diselesaikan.

Malah, katanya harga ayam ketika kerajaan sebelum ini adalah lebih rendah berbanding sekarang.

- Advertisement -

“Pada Oktober tahun lalu, harga ayam sekitar RM8 atau RM8.50 sen. Hari ini, harga ayam mencecah RM10. Kita jangkakan, menjelang Ramadan, harga ayam akan meningkat sehingga RM12 sekilogram.

“Bagaimana kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mahu menjamin harga ayam. Macam mana hendak menoktahkan kemiskinan kalau isu ayam pun tidak selesai,” katanya semasa sesi perbahasan peringkat jawatankuasa kementerian itu di Dewan Rakyat, hari ini.

Syed Abu Hussin Hafiz berkata, kerajaan menyediakan peruntukan untuk padi dan beras, lembu dan kerbau serta babi, namun tiada untuk ayam.

“Sekarang kita berdepan isu ayam, saya tidak nampak di mana disorokkan tajuk ‘ayam’,” katanya yang meminta kementerian itu memberitahu punca kegagalan menyelesaikan isu harga ayam supaya pembangkang boleh memberikan cadangan.

“Saya minta kementerian tunjukkan di manakah butiran dan berapakah jumlah yang diperuntukkan untuk ayam bagi menyelesaikan masalah harga ayam.

“Jika kementerian tidak boleh memberikan jawapan penyelesaian, saya mohon berikanlah jawapan masalah supaya kita boleh beri cadangan,” katanya – HARAKAHDAILY 15/3/2023

- Advertisement -