Isu: Ahli politik, ahli syurga dan kembang politik di masjid

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan salah faham dan dakwaan kononnya pimpinan PAS mengaku sama seperti para Sahabat RA yang terdiri daripada ahli syurga.

Menurut beliau, perkara cuba dinyatakan adalah penegasan bahawa politik adalah sebahagian dan urusan atau juzuk penting di dalam Islam di mana menunjukkan Islam itu memiliki sistem yang syumul yakni menyeluruh.

Polemik berbangkit itu terang beliau, adalah asal hadis Rasulullah SAW yang menyebut mengenai sepuluh Sahabat RA yang dijanjikan syurga oleh Allah SWT di mana sembilan daripada mereka adalah ahli politik.

“Ada yang cuba menempelak, dia kata kita tak sama dengan Saidina Abu Bakar (RA). Memang tak ada siapa yang boleh sama dengan Saidina Abu Bakar. 

“Mana ada orang yang boleh sama Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Sahabat-sahabat RA ya. Tak ada! Mereka terbaik!” ujarnya sebagai reaksi kepada pihak-pihak yang mungkin keliru atau salah faham atau memanipulasikan.

Tambah beliau, Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sendiri sering menulis bagi menjelaskan kedudukan politik dalam sistem Islam termasuk pengembangan politik di masjid sebagaimana dilakukan Rasulullah.

“Sebab itu Nabi lantik khalifah dalam masjid. Nabi tunggu bertemu pemimpin-pemimpin dunia dalam masjid. Termasuk rombongan Kristian bertemu dalam masjid Nabi.

“Ya, mereka bertemu dalam masjid Nabi. Menunjukkan pada kita bahawa politik bukan duduk luar masjid. (Tetapi) Bila Barat menguasai umat Islam, mereka membawa kefahaman sekularisme.

“Bahawa dalam masjid hanya hubungan dengan Allah Taala. Di luar masjid (baru boleh bincang) soal ekonomi, soal politik,” sanggahnya terhadap pemisah agama dari urusan kehidupan itu.

Sekularisme itu tegas beliau, hanya mencacatkan kesyumulan sistem Islam hingga kepimpinan juga dipecah kepada dua lalu Barat menanam juga seolah-olah politik ini perkara yang tidak bersih yakni kotor.

Sedangkan politik dalam Islam, terang Ahli Parlimen Kubang Kerian tersebut, adalah bersih dan hanya menjadi kotor apabila ia tiada panduan agama, hatta ekonomi dan lain-lain juga akan kotor jika tanpa didasari Islam.

“(Sebab) Tak ada halal haram, dosa pahala. Sama juga politik. Maka kerana itu politik Islam ialah politik yang berdasarkan panduan daripada Allah SWT,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 15/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -