Dakwaan PM subsidi diesel tiris RM10b mengelirukan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pembangkang cuba membawa usul terhadap kenyataan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dianggap mengelirukan ketika membentang Belanjawan 2023.

Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) bangkit mengemukakan usul ketika sidang Dewan Rakyat dipengerusikan Timbalan Yang di-Pertua, Datuk Ramli Mohd Noor.

- Advertisement -

Menurutnya, kenyataan Menteri Kewangan dengan mendakwa berlaku ketirisan subsidi diesel berjumlah hampir RM10 bilion sepanjang 2022 mengelirukan.

“Kenyataan Menteri Kewangan ketika membentang Belanjawan 2023 mengelirukan dengan mendakwa berlaku begitu banyak ketirisan subsidi diesel,” katanya ketika mengemukakan usul itu selepas sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Ketika membentang Belanjawan 2023, Perdana Menteri dilapor mendakwa berlaku ketirisan subsidi diesel sebanyak RM10 bilion sepanjang tahun 2022.

Bagaimanapun kenyataan itu sebelum ini, dipertikaikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang meminta Kementerian Kewangan menyemak dengan betul fakta tersebut.

Menurutnya jika benar ketirisan berlaku dalam jumlah terbabit, ia bermakna wujudnya penyelewengan besar terhadap subsidi berkenaan.

“Kalau tidak silap saya, subsidi (bahan bakar) minyak RON 95 dan diesel tahun lepas kira-kira RM30 bilion. Daripada jumlah itu, mungkin RM10 hingga RM12 bilion adalah subsidi diesel.

“Kalau RM10 bilion subsidi diesel diselewengkan.. apa yang tinggal? Elok periksa betul-betul,” ujar Ismail di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Bagaimanapun Ramli meminta Ahli Parlimen Hulu Terengganu mengemukakan usul tersebut ketika sidang dipengerusikan Yang di-Pertua, Datuk Johari Abdul, bagi memudahkan penyelarasan.

Biarpun usul tersebut cuba diganggu RSN Rayer (PH-Jelutong) dengan menganggap usul tersebut lewat dikemukakan, Ramli mencadangkan Rosol membangkitkan semula kepada Johari.

Katanya, sekiranya masih tidak berpuas hati terhadap jawapan yang diberi Yang di-Pertua, Ahli Parlimen boleh mengemukakan usul tambahan. – HARAKAHDAILY 15/3/2023

- Advertisement -