Champions League: Saingan paling terbuka

- Advertisement -

PERLAWANAN-perlawanan untuk ‘Round of 16‘ Liga Juara-juara UEFA atau UEFA Champions League (UCL) hampir selesai berlangsung dan selepas ini pertandingan akan memasuki pusingan suku akhir.

Perlawanan pertama (first leg) telah berlangsung pada 14, 15, 21 dan 22 Februari lepas. Sementara perlawanan kedua (second leg) adalah pada 7, 8, 14 dan 15 Mac.

Setakat hari ini Bayern Munich (Jerman), Chelsea (England), AC Milan (Itali) dan Benfica (Portugal) telah layak ke pusingan suku akhir.

Bayern Munich telah mengalahkan kelab Ligue 1 Perancis, Paris St Germain dengan agregat 3-0 (1-0 di tempat lawan dan 2-0 di tempat sendiri) dan Chelsea pula telah mengalahkan Borussia Dortmund dari Jerman dengan agregat 2-1 (0-1 di tempat lawan dan 2-0 di tempat sendiri).

Sementara AC Milan telah mengalahkan Tottenham (England) dengan agregat 1-0 (0-0 di tempat lawan dan 1-0 di tempat sendiri) dan Benfica telah mengalahkan Club Brugge (Belgium) dengan agregat 7-1 (2-0 di tempat lawan dan 5-1 di tempat sendiri).

Empat lagi kelab akan mengiringi mereka ke suku akhir dan akan berentap dalam perlawanan kedua. Walau bagaimanapun terdapat kelab-kelab yang mempunyai tugas yang berat untuk mara. Di antaranya adalah juara 2019, Liverpool, yang ketinggalan 2-5 akibat kekalahan kepada kelab La Liga, Real Madrid, di Anfield. Walaupun tidak mustahil namun susah untuk kita melihat Liverpool mengalahkan Real di Santiago Bernabeu.

Kelab Serie A Itali, Napoli, juga pada kedudukan yang paling baik setelah membenamkan kelab Bundesliga, Eintracht Fraknfurt, 2-0 di tempat lawan. Mereka tidak dijangka menghadapi masalah di tempat sendiri dan berupaya layak dengan mudah.

Selain dari itu, Manchester City merupakan harapan terakhir England setelah Tottenham tersingkir dan Liverpool berhadapan dengan tugas sukar untuk layak. City telah seri 1-1 dengan RB Leipzig dari Jerman di tempat lawan. Berdasarkan prestasi mereka di dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), City tidak mungkin akan terkandas.

Dua lagi kelab yang akan bersaing untuk ke suku akhir adalah Porto (Portugal) dan Inter Milan (Itali). Inter Milan mendahului Porto 1-0 dari perlawanan pertama di Itali. Dengan Romelu Lukaku yang menjaringkan gol pada perlawanan pertama, sukar untuk Porto menyekat Milan tetapi apa sahaja boleh berlaku di dalam UCL.

Berdasarkan rekod UCL, Real Madrid tidak boleh dipandang ringan. Selain dari juara bertahan, Real juga telah memenangi UCl 5 kali sejak 10 tahun yang lepas. Kemampuan mereka membelasah Liverpool 5-2 di Anfield adalah satu amaran kepada pesaing-pesaing yang lain. Walau bagaimanapun hari ini mereka hanya berada di tempat kedua di dalam La Liga.

Ramai penganalisis menganggap saingan musim ini adalah yang paling terbuka. Hanya Bayern, Napoli dan Benfica berada di puncak liga domestik masing-masing. Walau bagaimanapun prestasi di dalam liga domestik tidak boleh dijadikan kayu pengukur yang tepat. Tekanan untuk mencapai kejayaan di dalam UCL akan mendorong kelab-kelab untuk meningkatkan prestasi.

Satu kelab yang mempunyai motivasi tambahan untuk mencapai kejayaan di dalam UCL adalah City. Pengurus City, Pep Guardiola, telah memenangi kesemua kejuaraan domestik di England tetapi gagal untuk memenangi UCL. Pada musim 2020/21, City telah melangkah ke perlawanan akhir tetapi tewas 0-1 kepada Chelsea. Guardiola masih belum dapat menandingi pengurus legenda Manchester United, Alex Ferguson, kerana gagal memenangi UCL. Kali ini peluang City lebih cerah.

Berdasarkan rekod domestik, Napoli, adalah pilihan ramai. Mereka berada di puncak Serie A dengan meninggalkan Inter Milan 18 mata di tempat kedua. Kemunculan seorang pemain baharu yang dibandingkan dengan Diego Maradona telah membawa perubahan kepada kelab ini. Maradona pernah bermain untuk Napoli dari 1984 hingga 1991.

Khvicha Kvaratskhelia dari Georgia telah menyertai Napoli pada bulan Julai lepas dan telah memberi impak yang besar. Setakat ini beliau telah menjaringkan 13 gol dalam semua pertandingan. Jika Napoli menjadi kelab pertama Itali memenangi UCL sejak musim 2009/10, Kvaratskhelia adalah bintang mereka.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
14 Mac 2023 – HARAKAHDAILY 15/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -