KANGAR: Sebanyak 20 peratus kontraktor atau pembekal di Perlis berjaya meraih kontrak yang dianugerahkan kerajaan.
Menteri Besar Mohd Shukri Ramli berkata, anak syarikat Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs), Pens Industries Sdn Bhd sentiasa memberi keutamaan dan menyokong pembekalan projek kepada kontraktor.
Katanya, bagi pembinaan projek di Chuping Valley Industrial Area (CVIA), tiada kuota ditetapkan bagi kontraktor-kontraktor berdaftar di Perlis.
“Sehingga kin, kontraktor atau pembekal berjaya meraih sekurang–kurangnya 20 peratus daripada nilai kontrak yang dianugerahkan,” katanya menjawab soalan Wan Zikri Afhtar Ishak (PN-Tambun Tulang) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis hari ini.
Mohd Shukri yang juga Pengerusi Perancangan Ekonomi dan Pembangunan Industri berkata, syarikat yang mahu membuat pembelian produk kuari daripada Pens Industries Sdn Bhd perlu mengikut mengikuti prosedur ditetapkan.
Katanya mereka perlu kemukakan dokumen perniagaan seperti Sijil Pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Surat Tawaran Projek dan dokumen berkaitan.
“Kemudian mereka akan melalui rundingan terma pembayaran dengan pihak kontraktor dengan melengkapkan Borang Pesanan Belian,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 15/3/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!