18,740 unit kuaters guru tidak diduduki

Kuaters guru Kementerian Pendidikan Malaysia
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sebanyak 18,740 unit daripada 47,947 unit kuaters guru Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di seluruh negara tidak diduduki.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying, berkata hanya sebanyak 29,207 unit kuarters diduduki.

- Advertisement -

Menurutnya, antara punca masalah kuaters guru tidak diduduki ialah faktor lokasi, iaitu jauh dari sekolah menyebabkan guru membuat keputusan tidak tinggal di kuaters berkenaan.

Katanya, KPM telah melantik perunding hartanah bagi menjalankan kajian mengoptimumkan penggunaan kuarters guru tidak berpenghuni di seluruh negara.

“Skop kajian merangkumi cadangan penyelesaian bagi mengoptimumkan kuarters kosong di seluruh negara. Kajian ini dijangka selesai pada akhir April 2023.

“KPM akan buat keputusan berdasarkan hasil kajian itu,” katanya menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-Bentong) yang meminta Menteri Pendidikan menyatakan jumlah kuarters guru yang ada dan perancangan untuk membaik pulih dan menyelenggara kuarters guru yang uzur.

Hui Ying berkata, KPM memberi fokus kepada kerja membaik pulih dan penyelenggaraan kuarters guru yang didiami berdasarkan tahap kerosakan yang kritikal seperti kerosakan bumbung, pendawaian elektrik, perpaipan, kerosakan tandas, kumbahan dan kerosakan struktur bangunan.

Katanya, kerosakan kuarters yang melibatkan struktur akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Kerosakan kuarters yang tidak melibatkan struktur akan dilaksanakan oleh KPM. Pemantauan akan dibuat dari semasa ke semasa oleh JKR dan KPM bagi memastikan skop kerja dipatuhi mengikut spesifikasi yang ditetapkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/3/2023

- Advertisement -