Salah ke LGBT?

- Advertisement -

INI soalan mengenai status moral perilaku homoseksual. Ketika berhadapan dengan mereka yang anti-syariat, sedikit sebanyak harus mengetuk mereka dengan hujah-hujah falsafah. 

Dalam falsafah etika iaitu ilmu yang membincangkan mengenai tingkah laku atau pandangan baik atau buruk bagi sesuatu tindakan manusia, seringkali rasional yang digunakan dalam menentukan nilai adalah bersifat relatif sehingga tiada satu etika yang diterima umum. 

Ada yang membenarkan antara satu sama lain. Dan ada yang saling bertentangan. Kerana itu, ilmuan-ilmuan falsafah masih tidak berhenti mengkaji dan berusaha mencari etika yang universal yang dibina atas landasan yang kukuh. 

Ketika membaca ini, saya teringat jawapan al-Maududi dalam pertanyaan ini, ‘Sistem moral ciptaan manusia gagal mengintegrasikan pelbagai perkara makruf atau nilai kebaikan dan norma-norma akhlak dalam menetapkan konsep dan aplikasinya untuk kehidupan‘. 

Ini bukti pengalaman indrawi manusia sangat rapuh dan tidak berjaya menghasilkan kod etika yang stabil. 

Sebentar, barangkali membaca ini sahaja, membuatkan kita bosan, falsafah? Barang boring

Akan tetapi satu perkara yang tidak dapat dinafikan, setiap tindakan dan perilaku kita datang daripada pemikiran dan keadaan dalaman diri kita.

Saya ada membaca tulisan Dr. Dinar Dewi Kania yang membahas perkaitan LGBT dan moral. Menurut beliau, ketika melihat isu homoseksual dalam ranah falsafah moral, ia juga disebutkan sebagai etika normatif.

Dalam etika normatif itu adanya 3 teori utama:

1. Etika Keutamaan (virtue ethics).
2. Utilitarianisme.
3. Deontologi.

Manusia beradab

Dr. Dinar memetik etika keutamaan dalam konsepsi yang dibawa al-Attas, iaitu manusia beradab. Menurut al-Attas terminologi adab memiliki akar pada tradisi Islam. 

Dan perilaku yang benar adalah yang datang daripada pengawalan diri sendiri berasaskan ilmu dan diperoleh daripada kebijaksanaan (hikmah). 

Melalui teori keutamaan, perilaku homoseksual merupakan tindakan yang tidak beradab kerana menempatkan sesuatu bukan pada tempatnya.

Seorang homo tidak boleh dikatakan beradab kerana manusia yang beradab kekuatan jiwa rasionalnya akan mengawal jiwa binatang (animal soul) yang ada dalam diri manusia. 

Ini bermakna perilaku homo adalah refleksi dari ketidakstabilan syahwat (hasrat) sehingga tidak dapat dikendalikan akal.

Manfaat buat manusia sejagat

Dari sisi utilitarianisme, dianggap sebuah kebaikan adalah apa yang memberi manfaat terbesar bagi ramai orang. Sedangkan perilaku homo merupakan perilaku yang berbahaya dan mengancam kelangsungan hidup manusia.

Banyak fakta-fakta empirik yang membuktikan bahawa perilaku homo paling berisiko menyebarkan HIV dan Aids dan penyakit kelamin yang lain.

Pakar perubatan yang masih memiliki moral menentang gen-homo (gay-gene) dan konsep gender ketiga dan bersetuju bahawa ia merupakan konsep pseudo-ilmiah. 

Bahkan, sekiranya kita membaca sejarah kebudayaan Barat, perilaku homo ini ditentang dan tidak diterima oleh masyarakat Barat sebelum berlakunya propaganda politik pada abad ke-20. Barat yang selama ratusan tahun mengangkat anti-sodomy law. 

Dalam buku Homosexuality in ancient Greece, perilaku homo ini ditentang masyarakat Yunani kuno secara umum. Dan sejarah lainnya menunjukkan bahawa perilaku homo identik dengan pedofilia kerana sering menyasarkan kanak-kanak. 

Argumen kegemaran aktivis LGBT

Mereka pasti menyukai Teori Deontologi kerana lahir dari inilah teori hak dan dari teori ini jugalah lahir konsep Hak Asasi Manusia (HAM). 

Tetapi mereka lupa, konsep kemanusiaan sendiri tidak boleh lari dari agama. Kenapa?

Dari mana datang hak tersebut berasal jika bukan Tuhan yang memberikan kepada manusia. 

Dan dalam kajian perbandingan agama, kita pasti tahu agama-agama lain juga rupanya mengharamkan perilaku homoseksual. Dan begitulah.

Mereka menuduh kita sebagai orang yang tidak punya hati, moral dan nurani. Sedangkan hakikatnya, mereka itulah yang tidak mempunyai asas falsafah, empirik bahkan teologi untuk memiliki moral sebenar. 

Kalau dulu, mudah kita katakan ini salah dan ini benar. Namun era post-modern, sofist dan Madani tiruan ini. Moral, akhlak dan agama didesak untuk mengikuti mereka. 

Jika tidak dibanteras dan dibendung dari sekarang nescaya bakal meruntuhkan peradaban manusia. Moga Allah selamatkan anak cucu kami. 

AINNUR UKHTA UWAIS
14 Mac 2023 – HARAKAHDAILY 14/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -