Raja Perlis puji prestasi positif ekonomi negeri

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam istiadat Perasmian Penggal Persidangan Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke 15, di Kompleks DUN Kangar, Perlis pada 14 Mac 2023.
- Advertisement -

KANGAR: Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail melahirkan rasa kagum dengan usaha yang ditunjukkan oleh kerajaan tidak kira di peringkat persekutuan mahupun negeri.

“Alhamdulillah, prestasi ekonomi negeri Perlis telah menunjukkan pertumbuhan yang positif dengan kadar pertumbuhan 1.5 peratus dicatatkan pada tahun 2021 berbanding penyusutan 6 peratus pada tahun 2020.

- Advertisement -

“Berdasarkan statistik, tiga sektor menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri iaitu sektor perkhidmatan yang meningkat sebanyak 2.3 peratus, sektor pembuatan meningkat sebanyak 5.4 peratus dan sektor pembinaan menunjukkan peningkatan sebanyak 0.2 peratus,” titah baginda pada istiadat Perasmian Penggal Persidangan Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke 15, di Kompleks DUN Kangar, di sini, hari ini. Teks titah baginda dibacakan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Melalui pencapaian tersebut, baginda yakin Perlis juga dapat menyumbang kepada KDNK negara menerusi peningkatan di sektor perkhidmatan dan lojistik, perlombongan dan pengkuarian, pelancongan, pertanian, keusahawanan dan penjanaan ekonomi berasaskan digital serta industri pembuatan.

Dalam pada itu, Tuanku juga bertitah agar kerajaan negeri dapat menjalinkan hubungan yang baik dengan kerajaan persekutuan.

“Tidak dapat dinafikan cabaran untuk membangunkan negeri ini agak mencabar dan sukar. 

“Beta faham akan keterbatasan kewangan yang dihadapi oleh kerajaan negeri dan kebergantungan dari segi peruntukan, perbelanjaan operasi dan pembangunan daripada kerajaan persekutuan. 

“Justeru, kerajaan negeri dan setiap wakil rakyat harus  berusaha keras mewujudkan hubungan yang baik dengan kerajaan pusat supaya segala urusan berkaitan dengan pembangunan negeri berjalan lancar,” titah baginda. – HARAKAHDAILY 14/3/2023

- Advertisement -