Program ziarah gereja cetus tanda tanya

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Terdapat badan bukan kerajaaan (NGO) yang dikatakan mendapat dana Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengiklankan program ziarah gereja.

Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berkata, program terbabit perlu dipantau kerana mendapat bajet KBS dan perlu selari dengan aspirasi kerajaan.

- Advertisement -

“Program ini bukanlah tidak baik dari sudut asasnya, tetapi memerlukan penyertaan daripada golongan agamawan seperti kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Ini kerana ada isu, kalau kita bawa khususnya belia beragama Islam ke gereja walaupun tujuan asalnya adalah untuk mengenali antara agama satu sama lain,” katanya semasa perbahasan Belanjawan 2023 peringkat jawatankuasa KBS di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Pusat berkata, perkara ini mencetuskan kebimbangan dan berdasarkan maklumat dalam media sosial NGO berkenaan, mengiklankan program ke gereja pada 18 Mac (Sabtu ini), tetapi kemudian diturunkan.

“Ini bermakna ada satu benda yang mungkin tidak sesuai atau tidak kena pada pandangan masyarakat dan sebagainya.

“Walaupun mungkin KBS tidak mempunyai kaitan secara langsung, tetapi kerana dana ini ada dari KBS untuk NGO seperti ini.

“Walaupun mungkin dijawab pula ada program ziarah ke masjid dan sebagainya, tetapi ia tidak boleh disamakan dan tidak boleh dibandingkan ‘epal’ dan ‘oren’,” katanya.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, ketika penggulungan berkata, NGO berkenaan menerima peruntukan dari Kementerian Kewangan menerusi KBS, selain mempunyai dana menerusi aktiviti penjanaan mereka sendiri.

Beliau memperjelaskan bahawa program jom ziarah gereja itu tidak melibatkan belia Islam dan ia bukan usaha untuk menjadikan semua agama setaraf.

“Projek Artikel 11 Jom Ziarah yang diusahakan oleh Impact di bawah KBS bukan untuk menyamaratakan kedudukan mana-mana agama, bukan projek yang berniat beri gambaran semua agama adalah sama sebagaimana dakwaan dan anggapan setengah-setengah pihak.

“Jom Ziarah adalah usaha untuk mengenali perbezaan agama yang ada dalam kalangan kita. Ia usaha kita melihat untuk membezakan dan supaya dengan cara itu masyarakat Malaysia yang berbilang agama dan bangsa boleh hidup rukun damai, lebih harmoni dan lebih tolerasi,” katanya.

Hannah yang juga bekas Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Selangor dan Ahli Dewan Undangan Negeri Subang Jaya berkata, beliau faham Perlembagaan Malaysia mengenai kedudukan agama Islam.

Katanya, penyebaran agama Kristian kepada penganut Islam juga adalah salah dari sudut perundangan. – HARAKAHDAILY 14/3/2023

- Advertisement -