
KOTA MEXICO: Presiden Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador tetap bertegas mengatakan negara itu lebih selamat daripada Amerika Syarikat di tengah-tengah kritikan terhadap keselamatan di Mexico, berikutan kes penculikan empat warga AS Amerika di utara Mexico awal bulan ini, yang mana dua daripada mereka maut.
Lopez Obrador dalam kenyataannya pada satu sidang akbar pada Isnin (13 Mac), waktu tempatan, berkata, bagi pelancong, tiada masalah untuk mengembara dengan selamat di sekitar Mexico.
“Pelancong AS dan warga Mexico yang tinggal di AS dimaklumkan dengan jelas tentang aspek keselamatan di negara ini,” katanya ketika menjawab soalan mengenai amaran perjalanan warga AS ke Mexico susulan kes penculikan tersebut.
Beliau berhujah bahawa kritikan terhadap pengendalian kes-kes jenayah di negara itu adalah sebahagian daripada kempen ‘anti-Mexico’ oleh ahli politik konservatif AS, yang mahu menghalang pembangunan Mexico.
Sementara menurut data yang diterbitkan Bank Dunia, kadar pembunuhan di Mexico adalah kira-kira empat kali lebih tinggi di berbanding di AS pada tahun 2020.
Terdahulu, data daripada Laporan Indeks Keamanan Global 2016 menunjukkan bahawa konflik dalaman Mexico menyebabkan kira-kira 33,000 kematian pada 2015, angka yang lebih tinggi daripada kematian di negara-negara yang dilanda perang seperti Iraq dan Afghanistan.
Sementara dalam senarai terbaharunya pada 2022 merujuk kepada senarai negara paling aman di dunia, Laporan Indeks Keamanan Global menyenaraikan Mexico di tempat ke-137 berbanding AS pada kedudukan ke-129; yang mana Iceland dan Malaysia masing-masing di tempat pertama dan ke-18. – HARAKAHDAILY 14/3/2023