Perbicaraan kes Syed Saddiq: Pembelaan tutup kes

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pasukan pembelaan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang berdepan empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram, menutup kesnya hari ini selepas memanggil empat saksi untuk memberi keterangan.

- Advertisement -

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid menetapkan 10 dan 11 April ini untuk mendengar hujahan lisan daripada kedua-dua pihak selepas peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili Syed Saddiq, memaklumkan bahawa pembelaan menutup kesnya.

Hakim itu turut menetapkan sebelum atau pada 3 April ini untuk pendakwaan dan pembelaan memfailkan hujahan bertulis.

Pada 28 Okt tahun lepas, Syed Saddiq, 30, diperintahkan membela diri atas empat pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu memberi keterangan membela diri selama dua hari bermula 22 Feb lepas.

Turut memberi keterangan sebagai saksi pembelaan ialah bekas Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Ulya Aqamah Husamudin, bekas pegawai khas kepada Syed Saddiq, Mohamed Amshar Aziz dan bekas setiausaha peribadi kepada Syed Saddiq, Siti Nurul Hidayah.

Terdahulu, Siti Nurul Hidayah yang menyambung keterangannya berkata laporan polis yang dibuat berhubung dakwaan beliau dikasari dan diugut oleh pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika dipanggil memberi keterangan dalam siasatan terhadap Syed Saddiq pada 2020 adalah benar.

Menurut saksi pembelaan keempat itu, beliau juga pernah berjumpa dengan pegawai kanan SPRM dikenali sebagai Ihsan, yang memperkenalkan diri sebagai pegawai penyiasat dalam kes Syed Saddiq.

Syed Saddiq yang dipanggil semula untuk memberi keterangan turut membuat pengecaman ke atas Ihsan atau nama sebenarnya Mohd Ihsan Sapuan.

Semasa prosiding sebelum ini, Syed Saddiq dirujuk oleh peguam bela dengan transkrip rakaman audio yang didakwa mengandungi perbualan antara Syed Saddiq dengan Ihsan.

Dalam transkrip tersebut, Ihsan dikatakan cuba memujuk Syed Saddiq supaya menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerana bekas Perdana Menteri itu yang membawa beliau menyertai Bersatu, masih mengambil berat terhadapnya dan memaklumkan bahawa SPRM menjadi ‘alat’ apabila berlaku pertukaran kerajaan.

Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan bekas Penolong Bendahari Armada Bersatu Rafiq Hakim Razali, yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Bekas Ketua Armada itu didakwa menyalah guna RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise, untuk diri sendiri dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 dan 21 April 2018.

Beliau juga berhadapan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, dipercayai merupakan hasil aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018. – BERNAMA

- Advertisement -