Pemikiran Islamofobia perlu ditangkis

KUALA LUMPUR: Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) menegaskan bahawa menangkis pemikiran Islamofobia penting untuk mengelakkan kejadian membakar al-Quran seperti yang berlaku di Eropah tidak berulang.

Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Pusat mengucapkan tahniah kepada kerajaan yang mengambil langkah mengedarkan mushaf al-Quran sebagai tindak balas kejadian membakar kitab suci umat Islam, namun menyifatkan tindakan itu hanya suatu simbolik.

Advertisement

“Saya mengucapkan tahniah kepada kerajaan mengambil langkah mengedarkan mushaf al-Quran, tetapi isunya ialah Islamophobia dan bukan kekurangan mushaf al-Quran walaupun saya faham tindakan itu adalah simbolik pembelaan kita terhadap al-Quran.

“Apa yang lebih penting ialah kita hendak menangkis Islamofobia,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Ketika mengemukakan soalan tambahan, beliau meminta penjelasan berhubung sejauh manakah lobi Malaysia kepada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk menubuhkan pusat penyelidikan pemikiran bagi menangkis Islamofobia dari semasa ke semasa. – HARAKAHDAILY 14/3/2023