Operasi terancang, berterusan PDRM tangani judi ‘online’

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa memantau dan menjalankan operasi secara terancang dan berterusan dalam menangani masalah aktiviti perjudian dalam talian.

- Advertisement -

Menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN), beberapa langkah telah diambil oleh pihak PDRM untuk mengesan serta membanteras kegiatan yang dijalankan itu sama ada oleh orang perseorangan atau kumpulan sindiket.

Katanya, di antara langkah-langkah yang telah diambil dan dirancang oleh pihak polis termasuklah memastikan serbuan berjaya dibuka kertas siasatan dan tangkapan dapat dituduh di mahkamah di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan undang-undang yang berkuatkuasa di Malaysia.

KDN menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal [PN-Machang] yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah bentuk pemantauan yang dilakukan ke atas aktiviti perjudian dalam talian yang semakin parah dalam kalangan belia.

“Apakah langkah mitigasi yang sedang atau akan diambil oleh pihak kementerian bagi membendung kebejatan ini,” ujarnya dalam pertanyaan di Dewan Rakyat, hari ini.

Selain itu, kata KDN operasi dan serbuan secara berterusan melalui Op Dadu termasuklah operasi bersepadu dengan kerjasama agensi-agensi lain seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk melumpuhkan kegiatan ini.

Tambahnya, PDRM juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) bagi sekatan laman sesawang perjudian di bawah Sek. 263(2) Akta Komunikasi Multimedia.

Di samping, PDRM bekerjasama dengan syarikat-syarikat utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan syarikat bekalan air untuk tindakan pemotongan bekalan elektrik dan air ke atas premis yang sering digunakan oleh sindiket perjudian;

Katanya, polis turut mengambil tindakan ke atas pihak-pihak yang terlibat dalam kegiatan itu termasuklah penjaga premis dan penganjur kegiatan perjudian haram di bawah peruntukan undang-undang berkaitan judi sedia ada seperti Akta Rumah Judi Terbuka 1957 dan Akta Pertaruhan 1953.

Selain itu, ujarnya tindakan yang lebih keras juga akan diambil di bawah peruntukan undang-undang lain yang berkaitan iaitu Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

“Meneliti undang-undang berkaitan judi sedia ada bagi tujuan pindaan penambahbaikan bagi memastikan undang-undang itu relevan dengan perubahan modus operandi sindiket perjudian terutamanya perjudian atas talian (online),” ujarnya.

Menurut KDN lagi, PDRM juga bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengesan pemilik-pemilik akaun yang membenarkan akaun mereka digunakan oleh pihak sindiket perjudian (akaun keldai) bagi tujuan mengurus dan mengutip wang pertaruhan. – HARAKAHDAILY 14/3/2023

- Advertisement -