Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra siap ikut jadual

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Walaupun terdapat kelewatan, projek pembesaran dan menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa, Kelantan, dijangka siap sepenuhnya mengikut perancangan, iaitu September 2024.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata kontraktor projek berkenaan memberikan komitmen dan jaminan untuk menyiapkan projek itu mengikut jadual yang ditetapkan.

- Advertisement -

Setakat 25 Februari lalu, katanya kemajuan sebenar projek adalah 18.19 peratus berbanding jadual asal, iaitu 43.4 peratus, iaitu kelewatan sebanyak 25.2 peratus.

“Kelewatan ini antara lain adalah disebabkan kekurangan tenaga kerja (tempatan dan asing) di tapak projek berikutan penularan wabak Covid-19 yang berlaku sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) di Dewan Rakyat mengenai perancangan terkini kementerian memanfaatkan LTSIP sebagai hub penerbangan serantau dan menjadi pintu masuk utama pasaran Indochina.

Siew Fook berkata, walaupun tidak dikategorikan sebagai lapangan terbang antarabangsa atau hub penerbangan serantau, LTSIP masih boleh mengendalikan operasi penerbangan antarabangsa berjadual dan tidak berjadual seperti lapangan terbang domestik lain.

Katanya, sebarang cadangan untuk menyedia dan menambah kekerapan jadual penerbangan bagi mana-mana laluan ke LTSIP, merupakan perancangan yang ditentukan sendiri oleh syarikat penerbangan berdasarkan pertimbangan komersial.

Namun, katanya ia juga tertakluk kepada kelulusan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM). – HARAKAHDAILY 14/3/2023

- Advertisement -