Kalau takut kalah, jangan pula lempar persepsi jahat

- Advertisement -

SAYA mendapati cicipan Twitter Timbalan Pengarah Komunikasi PKR Selangor, Adzman Kamaruddin cuba mewujudkan persepsi jahat dengan menuduh wujudnya gerakan penukaran tempat mengundi mereka yang beralamat Terengganu dan Kelantan ke Negeri Selangor. 

Persepsi jahat ini sengaja dilemparkan kerana sudah pasti ketakutan PH Selangor yang jelas mendapati isyarat pengundi Melayu Muslim khususnya yang menolak PH pada PRU15 baru-baru ini dan sudah pasti ‘trend’ yang sama akan berulang kembali dalam PRN Selangor dengan rekod buruk PH di peringkat Persekutuan ditambah lagi dengan formula-formula ke laut dari Menteri Kewangan dan Menteri Ekonomi yang kedua-duanya dari PKR yang tidak mampu menyelesaikan isu ekonomi negara walaupun telah memerintah Kerajaan Persekutuan.

Sebab itu, Adzman Kamaruddin cuba’memburukkan’ pengundi Melayu dari Terengganu dan Kelantan dengan lemparan negatif dalam Twitter. Saya kira itu bukti ketakutan PH Selangor sekarang ini yang tentu sedari pengundi Melayu sudah tidak lagi mengundi mereka melainkan mereka mengharapkan belas ihsan dari pengundi tegar DAP yang bersekongkol dengan mereka. 

Kalau benar ada gerakan sedemikian, buktikan dengan fakta dan data bukannya hanya bermain persepsi. Atau memang PKR adalah parti yang suka main persepsi bermula dengan Presiden, Timbalan Presiden dan pimpinan seterusnya. Ya, gelagat ini sesuai dengan pepatah ‘bapa borek, anak rintik’. Jika Presiden dan Timbalan Presiden sedemikian maka tidak pelik, pimpinan negeri juga demikian.

Tidak pelik jika PH sangat dibenci oleh pengundi Melayu sejak PRU14 yang lalu dengan isu-isu terpalit melibatkan sensitiviti Islam dan Melayu ditambah lagi baru-baru ini mereka merendahkan IQ pengundi muda dan pengguna Tik Tok serta kini memfitnah orang Melayu Terengganu dan Kelantan pula. Jelas PH Selangor tiada modal melainkan terus memusuhi masyarakat Melayu Islam bagi terus ‘menambat hati’ kawan mereka.

Adzman Kamaruddin mesti bertanggungjawab atas cicipan yang dibuat. Ia boleh dikira menghina pengundi Terengganu dan Kelantan di samping berbaur hasutan dalam memburuk-burukkan pengundi Melayu amnya. 

Kemukakan bukti! Atau minta maaf kerana lempar persepsi jahat!

USTAZ MOHAMED SUKRI OMAR
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 14/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -