Kadar faedah AS jejas Ringgit Malaysia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menjelaskan mengenai perancangan untuk mengimbangi kadar faedah Amerika Syarikat (AS) yang berterusan meningkat dan dijangka akan meningkat lagi.

Datuk Ahmad Amzad Hashim (PN-Kuala Terengganu), berkata walaupun Malaysia telah meningkatkan 100 mata asas kadar tahun lalu berdasarkan situasi inflasi ketika itu, kadar itu masih dikekalkan tahun ini.

- Advertisement -

Katanya, perbezaan kadar faedah antara AS dan Malaysia yang semakin melebar akan melemahkan permintaan terhadap ringgit.

Situasi itu katanya, sudah tentu memberi kesan kepada nilai wang ringgit pada masa akan datang memandangkan punca ringgit lemah adalah disebabkan kadar faedah Persekutuan AS yang berterusan meningkat.

“Justeru itu, apakah perancangan kerajaan untuk berhadapan kadar AS yang dijangka akan terus meningkat?” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab persoalan ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, percaya keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar faedah mengambil kira inflasi yang belum meningkat.

Oleh itu katanya, kadar faedah Malaysia masih sama iaitu sebanyak 2.57 peratus, dan negara masih dapat bertahan dengan perbezaan kadar tersebut antara AS.

“Selain ketidakupayaan kita mengawal perkembangan di AS, kita tahu dasar AS itu hanya memikir dasar kepentingan AS dan tidak memikirkan kesan kepada ekonomi dan harga pasaran dunia.

“Jadi saya percaya kawalan BNM itu mengambil kira semua faktor ini, mereka ambil keputusan mengekalkan kadar faedah pada tahap sama supaya dapat pertahankan kekuatan ringgit dan juga inflasi dalam negara kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/3/2023

- Advertisement -