Hentikan kegiatan sindiket penipuan pekerjaan

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu berusaha bertindak menghalang lebih ramai rakyat negara ini menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan.

Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) berkata, isu ini perlu diberi perhatian serius kerana membabitkan rakyat yang menjadi mangsa penipuan.

Advertisement

Berdasarkan siasatan pihak berkuasa, beliau ingin tahu sama ada modus operandi sindiket pekerjaan luar negara membabitkan pakatan dengan sindiket tempatan.

“Dalam usaha membebaskan rakyat Malaysia yang terperangkap dengan sindiket itu, apakah kerajaan perlu bayar wang tebusan? Kalau ada, saya nak tahu jumlahnya setakat ini,” katanya dalam soalan tambahan ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, ketika menjawab berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menjalankan risikan dan menyiasat isu ini.

“Hasil risikan dan siasatan, PDRM berjaya menumpaskan dua buah syarikat yang disyaki menjalankan kegiatan ini dan menangkap beberapa individu dengan siasatan dibuat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).

“PDRM juga berjaya mendapat arahan pertuduhan dari Jabatan Peguam Negara,” katanya yang turut memberitahu bahawa kerajaan tidak memberi sebarang bayaran pampasan kepada sindiket dalam usaha menyelamat mangsa yang terpedaya,” katanya – HARAKAHDAILY 14/3/2023