Gunung Inas: Mangsa pindah rumah baharu 27 April ini

Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor
- Advertisement -

ALOR SETAR: Sebanyak 12 buah rumah baharu yang diperuntukkan buat mangsa aliran puing Gunung Inas sudah boleh diduduki menjelang April ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, empat daripada 12 buah rumah berkenaan sudah siap sepenuhnya, manakala baki lapan daripadanya hampir siap.

- Advertisement -

“Proses untuk menyiapkann keseluruhan 12 buah rumah di Kampung Sadek itu tinggal sedikit sahaja lagi. 

“Menjelang 27 April ini, insya-Allah, mereka dapat pindah ke rumah baharu iti,” katanya pada sidang media selepas hari kedua Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di Wisma Darul Aman, di sini, petang semalam.

Menurutnya, semua proses infra termasuk utiliti, perparitan, jalan raya dan lain-lain akan disiapkan sebelum tarikh tersebut, manakala kesemua penerima rumah berkenaan sudah selesai membuat cabutan undi. 

Sebelum ini kerajaan negeri Kedah  menyambung bayaran sewaan rumah kepada 12 keluarga tersebut,  berikutan penginapan itu tidak dapat disiapkan mengikut jadual asal pada Dis 2022.

Sementara  dalam  sesi soalan lisan semalam, beliau memaklumkan bahawa rumah baharu 17 keluarga di zon kuning masih dalam proses pengambilan tanah.

“Dalam pada itu 55 rumah mangsa di Yan yang dibaik pulih pula telah pun siap sepenuhnya dengan kesemua rumah itu sudah diduduki penduduk terlibat,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/3/2023

- Advertisement -