Elakkan perbelanjaan yang tak berpaksikan rakyat

Istiadat Penggal Persidangan Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke-15 di Kompleks DUN, Persiaran Wawasan, Kangar, Perlis dirasmikan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

KANGAR: Perancangan perbelanjaan kerajaan negeri Perlis perlu dibuat dengan teliti dan berhemah, yang mana perbelanjaan yang tidak berpaksikan rakyat dan pembaziran harus dielakkan sama sekali.

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullailbertitah demikian dan menyeru supaya kerajaan negeri berbelanja mengikut keutamaan dan fokus kepada perkara yang dapat memberi impak langsung kepada pembangunan ekonomi dan masyarakat.

Advertisement

“Kerajaan negeri perlu bijak meneroka sumber baharu yang boleh mendatangkan hasil kepada Negeri,” titah baginda pada Istiadat Perasmian Penggal Persidangan Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke-15 di Kompleks DUN, Persiaran Wawasan di sini, hari ini. Teks titah baginda dibacakan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail

Titah baginda lagi, sudah tiba masa untuk kerajaan negeri berfikir secara kritis dan serius dengan mempelbagai hasil negeri dan tidak bergantung kepada kutipan hasil cukai tanah dan premium semata-mata. 

“Jabatan serta agensi negeri boleh fokus kepada pengeluaran produk hiliran, penelitian semula caj kemasukan tempat pelancongan, menyewakan lot-lot atau tapak-tapak tanah kerajaan bagi tujuan aktiviti perniagaan dan lain-lain yang difikirkan wajar. 

“Elemen penguatkuasaan juga perlu dipergiatkan supaya hasil negeri dapat ditingkatkan di samping memudahkan proses penyewaan tapak-tapak perniagaan ini,” titah baginda. – HARAKAHDAILY 14/3/2023