Elak konon cakna, rakyat masih bersuara perlukan bantuan

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah sempena Istiadat Perasmian Penggal Persidangan Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Ke-15 di Kompleks DUN negeri, di Kangar, Perlis pada hari ini, 14 Mac 2023.
- Advertisement -

KANGAR: “Perbuatan yang kononnya menampakkan kecaknaan sedangkan suara rakyat yang memerlukan bantuan dan sokongan masih didengari perlu dielakkan,” titah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Tuanku ternyata prihatin dengan nasib jelata, khususnya di Perlis.

- Advertisement -

Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Perasmian Penggal Persidangan Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Ke-15 di Kompleks DUN negeri, di sini, hari ini. Teks titah baginda dibacakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Terdahulu, keputusan Pilihan Raya Umum  ke-15 (PRU15) telah menyaksikan kejutan buat Perlis selepas buat pertama kalinya tampuk kepimpinan kerajaan negeri Perlis berubah kepada Perikatan Nasional (PN).

“Ia secara tidak langsung menunjukkan rakyat berkuasa memilih kepimpinan yang mereka percaya.

“Justeru, Beta berharap agar mandat yang diberikan oleh rakyat ini dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan amanah. 

“Jadilah pemimpin yang sentiasa mendengar keluh kesah rakyat serta bantulah mereka bagi meringankan beban yang  ditanggung kerana itulah tanggungjawab seorang pemimpin,” titah baginda.

Titah baginda lagi, sentiasa sematkan di dalam diri untuk menjadi pemimpin yang beretika, berintegriti, berani serta berwawasan dalam menggerakkan perubahan pembangunan negeri. 

“Beta yakin, pucuk pimpinan baharu ini mampu menggalas amanah selaras dengan aspirasi Perlis Baharu bagi membawa perubahan positif kepada negeri dan rakyat,” titah baginda. – HARAKAHDAILY 14/3/2023

- Advertisement -