Belanja pembangunan tinggi, berapa peluang pekerjaan baharu

Mohd Syahir Che Sulaiman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman bertanya berapakah jumlah peluang pekerjaan baharu (new job creation) yang terhasil daripada belanja pembangunan yang tinggi oleh Kementerian Ekonomi.

- Advertisement -

Beliau merujuk kepada jumlah besar untuk maksud Bekalan B15 dan Pembangunan P15, di mana jumlah perbelanjaan mengurus (OE) adalah RM535 juta bersamaan 11 peratus daripada keseluruhan bajet Kementerian Ekonomi, dan belanja pembangunan berjumlah RM4.2 bilion bersamaan 89 peratus.

“Di sini kita dapat melihat nisbah (ratio) perbelanjaan pembangunan yang amat tinggi dan signifikan yang akan diterajui oleh Kementerian Ekonomi.

“Soalan saya, berapakah jumlah peluang pekerjaan baharu (new job creation) yang terhasil daripada belanja pembangunan yang tinggi ini iaitu RM4.2 bilion, dan jika boleh saya dapatkan berapakah jumlah peluang pekerjaan baharu yang akan terhasil daripada keseluruhan RM97 bilion perbelanjaan pembangunan yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2023,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian ketika membahaskan Belanjawan 2023 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Ekonomi di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada hemat beliau, perbelanjaan Kementerian Ekonomi perlulah mempunyai kesan pengganda (multiplier effect) yang lebih tinggi daripada perbelanjaan kementerian-kementerian lain.

Mengenai Butiran 020100 Unit Perancang Ekonomi, Syahir menyambut baik usaha berterusan di pihak kerajaan khususnya EPU untuk mengemudi program pembasmian kemiskinan tegar secara holistik, dan Ahli-ahli Parlimen yang mempunyai jumlah ketua isi rumah miskin dan miskin tegar yang tinggi pastinya menyambut baik segala inisiatif yang dijalankan oleh Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, baitul mal, badan korporat dan NGO.

“Khusus untuk Bachok, kami bersedia untuk bekerjasama meneruskan program pembasmian kemiskinan tegar yang telah pun dijalankan sebelum ini, dan saya mengharapkan penglibatan lebih ramai ketua isi rumah, ibu tunggal dan golongan belia agar dapat keluar (graduasi) daripada kepompong kemiskinan.

“Biarlah tempat kita ini sifatnya, ‘tempat orang miskin berteduh, tempat orang kaya berbakti,” ujarnya.

Berhubung Butiran 020200 Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), beliau merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada pihak Jabatan Perangkaan yang berjaya menghasilkan statistik dan dapatan kajian berkualiti dan komprehensif.

Cuma, katanya cabaran kepada pihak Jabatan Perangkaan ialah untuk meminimakan jurang perbezaan di antara statistik yang bersifat ‘historical’ dengan rungutan rakyat yang bersifat semasa dan keperluan pelabur untuk meninjau unjuran masa depan.

“Soalan saya, apakah langkah-langkah yang akan diambil oleh pihak Jabatan Perangkaan untuk memastikan statistik yang terhasil dapat menangani cabaran ini,” katanya lagi.

Bagi Butiran 00010 Matlamat Pembangunan Mampan, ujarnya perbelanjaan sebenar 2021 sifar, anggaran dipinda 2022 sifar dan anggaran 2023 RM2.56 juta.

Justeru, beliau memohon perincian kepada projek dan lokasi yang telah dikenal pasti dan menarik perhatian menteri untuk memasukkan Negeri Kelantan dan Parlimen Bachok khususnya dalam projek itu.

Menyentuh Butiran 00100 Kajian-kajian Kemungkinan, juga ujarnya menyaksikan peningkatan mendadak berbanding peruntukan 2021 dan 2022.

Sehubungan itu, beliau memohon perincian kepada kajian-kajian yang akan dijalankan dan adakah pihak kementerian berhasrat untuk menyahut saranan Perdana Menteri untuk mengurangkan kebergantungan kepada khidmat konsultan dan perunding luar.

Kepada Butiran 00113 Pembangunan Koridor, Syahir mengharapkan agar kerajaan dapat meneruskan pembangunan di wilayah-wilayah dan negeri-negeri kurang membangun supaya jurang antara wilayah dan jurang pendapatan dapat dirapatkan melalui projek-projek berimpak tinggi yang dapat menjana peluang pekerjaan berkualiti di luar bandar.

Beliau turut menyentuh Butiran 93500 Program Pembangunan Ekonomi dan memohon perincian kepada projek dan lokasi yang telah dikenal pasti.

Beliau mengharapkan Kementerian Ekonomi memfokuskan kepada pewujudan sektor ekonomi baharu, pewujudan peluang pekerjaan berkualiti dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing. – HARAKAHDAILY 14/3/2023

- Advertisement -