ALOR SETAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Suka Menanti dari PKR (PH) Datuk Zamri Yusuf diumumkan sebagai Ketua Pembangkang Dun Kedah berkuatkuasa 13 Mac 2023.
Pengumuman itu dibuat Speaker Dun, Datuk Juhari Bulat pada sidang Dun hari kedua, di Wisma Darul Aman, hari ini.
Jawatan Ketua Pembangkang sebelum ini kosong berikutan Adun Gurun, Datuk Johari Abdul meletakkan jawatan berkenaan serta merta pada 13 Disember 2022.
Johari dipilih sebagai Ketua Pembangkang pada 31 Oktober 2022 berikutan penyandangnya, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi dipecat daripada Amanah.
Malah pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas Johari tidak mempertahankan kerusi parlimen Sungai Petani dan tempatnya diganti anaknya.
Johari dilantik Yang Dipertua Dewan Rakyat selepas PH-BN membentuk kerajaan campuran selepas PRU lepas.
Juhari juga memberitahu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun kekal kosong sehingga tamat penggal pertengahan tahun ini.
Sementara bekas Pengerusi Parti Amanah Negara Kedah yang juga Adun Alor Mengkudu, Dato’ Phahrolrazi Mohd Zawawi kekal sebagai Adun Pakatan Harapan (PH) berikutan penyertaannya sebagai ahli PKR. – HARAKAHDAILY 13/3/2023