Teknologi satelit siap sepenuhnya pada 2022

Ustaz Hassan Saad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pelan jalur lebar dinaik taraf di seluruh negara termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman yang sedang diperluaskan secara berperingkat melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 dan Fasa 2.

- Advertisement -

Menurut Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Pelan JENDELA Fasa 1 (2020-2022) telah menetapkan sasaran untuk memberikan akses gentian optik kepada 7.5 juta premis di seluruh negara, meningkatkan kadar kelajuan purata jalur lebar mudah alih kepada 35Mbps dan meluaskan liputan jalur lebar 4G kepada 96.9 peratus kawasan berpenduduk di seluruh negara.

Pelan JENDELA Fasa 2 (2023-2025) pula, katanya telah menetapkan sasaran untuk memberikan akses gentian optik kepada 9 juta premis di seluruh negara, meningkatkan kadar kelajuan purata jalur lebar mudah alih kepada 100Mbps melalui pelaksanaan 5G, dan meluaskan liputan jalur lebar kepada 100 peratus kawasan berpenduduk di seluruh negara.

Demikian jawapan bertulis KKD kepada pertanyaan Ustaz Hassan Saad [PN-Baling] pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Ustaz Hassan meminta Menteri Komunikasi dan Digital menyatakan langkah untuk menaik taraf pelan jalur lebar di kawasan-kawasan luar bandar bagi memudahkan akses dalam talian.

Selain itu, KKD juga telah menambah baik capaian internet di kawasan pedalaman melalui teknologi satelit di 839 lokasi di seluruh negara, yang pada asalnya dirancang untuk dilaksanakan pada tahun 2023 di bawah JENDELA Fasa 2 yang telah berjaya disiapkan sepenuhnya di bawah JENDELA Fasa 1 pada tahun 2022.

“Selain daripada pembinaan menara-menara telekomunikasi dan satelit bagi menangani isu akses internet berkualiti, KKD juga turut melaksanakan penyediaan infrastruktur jalur lebar menggunakan kaedah Point of Presence (PoP) hab gentian optik yang merupakan salah satu alternatif dalam memastikan jaringan dan liputan infrastruktur jalur lebar dapat diperluaskan ke kawasan sekitar sekolah dan berpenduduk di kawasan luar bandar dan pendalaman di seluruh negara dengan lebih baik,” ujar KKD.

Secara keseluruhannya, kata KKD Fasa 1 bagi projek PoP itu akan melibatkan 630 lokasi berhampiran sekolah dan Fasa 2 pula akan melibatkan 3693 lokasi berhampiran sekolah di kawasan luar bandar di seluruh negara.

“Sekurang-kurangnya sebanyak 432,300 premis akan menerima perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi apabila projek ini siap kelak,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/3/2023

- Advertisement -