Tangani isu akaun palsu media sosial

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kewujudan akaun palsu dalam media sosial yang begitu banyak lebih patut dibimbangi, berbanding anak muda yang bersuara mengenai pendirian politik.

Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) berkata, ini kerana akaun palsu lebih banyak mencetuskan kegusaran, permusuhan dan ketegangan.

- Advertisement -

“Isunya bila kita buat laporan polis atau pun SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia), mereka tidak dapat jejak akaun palsu ini kerana mereka menggunakan server di luar negara, di tempat lain atau pun di luar bidang kuasa pihak bertanggungjawab.

“Jadi apa tindakan pihak kerajaan untuk isu akaun palsu yang sebenarnya mencetuskan ketidakstabilan dan ketidakharmonian di dalam negara kita,” soalnya.

Beliau berkata demikian semasa mengajukan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan, di Dewan Rakyat, hari ini.

Teo Nie Ching pula berkata, pihaknya tidak menafikan bahawa banyak akaun palsu dalam media sosial.

“Apa Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui SKMM boleh buat adalah apabila kita mendapati ada akaun palsu tertentu yang telah sebar fitnah ataupun berita palsu atau menjalankan aktiviti scam, kami akan hantar butiran akaun palsu tersebut kepada pembekal platform media sosial tersebut seperti Facebook, TikTok dan minta mereka untuk tutup akaun berkenaan.

“SKMM, kita tidak ada kuasa untuk terus tutup akaun tersebut, jadi kita memang perlu minta kerjasama pembekal platform untuk memberi kerjasama dengan kita supaya akaun-akaun yang kita rasa telah keluarkan kenyataan berbaur perkauman atau menghina institusi kita ditutupkan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, tidak semestinya pihak berkenaan akan sentiasa memberi IP seseorang akaun palsu tersebut kerana mereka juga akan mengikuti undang-undang di negara masing-masing.

“Jadi itu memang merupakan satu kekangan yang dihadapi oleh kita, jadi usaha kita adalah kita nak buat banyakkan lagi libat urus dengan pembekal platform media sosial ini supaya mereka lebih memahami situasi di negara kita.

“Saya harap apabila kita boleh membina neutral trust jadi mereka boleh memberi kerjasama yang lebih meluas kepada kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/3/2023

- Advertisement -