SHAH ALAM: “Apakah salah untuk mana-mana parti politik menerima sumbangan daripada mana-mana pihak sedangkan ia bukan mengikut cara haram?”
Itu persoalan yang diutarakan Ketua ARMADA Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal ketika ditemui HarakahDaily di Mahkamah Shah Alam, di sini, pagi tadi.
Beliau yang merupakan ahli Parlimen Machang berkata tindakan yang dilakukan oleh Perdana Menteri terkini dengan hanya menyasarkan Tan Sri Muhyiddin Yaasin memandangkan parti pimpinan beliau, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBBM) menerima sumbangan daripada Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary telah menimbulkan pelbagai persoalan.
“Ini kerana kerana Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary juga memberi sumbangan kepada parti-parti politik yang lain (di Malaysia).
“Disebabkan pertuduhan melibatkan sumbangan dana politik berjumlah RM5 juta cek melalui Bukhary Ekuiti Capital menyebabkan akaun Parti Bersatu dibekukan.
“Ini adalah pertuduhan terpilih dan pemangsaan politik, semua parti politik menerima segala sumbangan dana untuk pilihan raya,” tegasnya.
Malah, ujar beliau, Syed Mokhtar adalah seorang dermawan dan beliau beri sumbangan kepada banyak parti-parti politik di negara ini.
“Tetapi mengapa hanya Parti Bersatu sahaja yang disiasat sebegini? Siasat juga UMNO, dan parti-parti lain yang menerima sumbangan Tan Sri (Syed Mokhtar).
“Dalam hal ini, kami yakin akan menang dalam mahkamah tetapi terlalu awal untuk berkata apa-apa. Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyatakan pihak kami tidak melakukan apa-apa kesalahan,” jelasnya.
Kes perbicaraan Muhyiddin dilanjut 23 Mei
Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa perbicaraan seterusnya akan dipindahkan semula ke Mahkamah Kuala Lumpur menjelang 23 Mei kelak.
“Perbicaraan tersebut menjadi lambat juga kerana pihak pendakwa raya masih tidak mempunyai dokumen yang cukup untuk membuat pertuduhan dan perbicaraan. Kesannya, akan menimbulkan pelbagai persoalan tetapi biar rakyat yang menilai selebihnya,” katanya.
Muhyiddin telah dibicarakan di Mahkamah Shah Alam pada hari ini atas pertuduhan melibatkan sumbangan politik yang bernilai RM5 juta berkenaan inisiatif Jana Wibawa bagaimanapun mengaku tidak bersalah.
Ia merupakan tuduhan yang ketujuh oleh kerajaan terkini terhadap bekas Perdana Menteri itu.
Sebelum ini, beliau juga telah menghadapi tuduhan melibatkan rasuah bernilai RM232.5 juta diikuti kegiatan pengubahan wang haram bernilai RM195 juta di Mahkamah Kuala Lumpur pada Jumaat (10 Mac) lalu, namun beliau mengaku tidak bersalah dan bersedia untuk memberikan sebarang kerjasama kepada mahkamah. – HARAKAHDAILY 13/3/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!