Pinda Seksyen 15 AUKU, mahasiswa bebas berpolitik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang melakukan perubahan terhadap Seksyen 15 Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1971 bagi membolehkan mahasiswa berpolitik dengan lebih bebas.

Timbalan Menterinya, Datuk Mohammad Yusof Apdal, berkata perubahan itu adalah antara reformasi yang KPT usahakan untuk memberi tanggungjawab penuh dalam gerakan mahasiswa, terutama di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

- Advertisement -

“Kementerian telah melakukan beberapa perubahan dan penambahbaikan, terutama dalam memperkasakan mahasiswa di IPTA di mana ia termaktub dalam AUKU.

“Kita sudah buat beberapa perubahan…tujuh kali kita lakukan dan kini kita sedang berusaha membuat perubahan di bawah Seksyen 15 (AUKU) berhubung urusan kewangan dan untuk mereka berpolitik secara bebas, di mana mereka boleh menyertai sebagai parti politik, malah menjadi calon (pilihan raya),” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Chow Yu Hui (PH-Raub) sama ada KPT akan mengembalikan kuasa autonomi kepada mahasiswa terutama membolehkan mereka mengadakan sendiri pilihan raya kampus, berbanding dikelola oleh Hal Ehwal Pelajar (HEP). – HARAKAHDAILY 13/3/2023

- Advertisement -