Perunding: Kenapa peruntukan meningkat, PM janji kurang

Mohd Syahir Che Sulaiman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Peruntukan bagi 2023 menyaksikan peningkatan kepada RM22.5 juta berbanding RM15.8 juta pada tahun 2022, kata Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman.

- Advertisement -

Beliau menyatakan demikian semasa membahaskan Belanjawan 2023 di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan yang menyentuh butiran khidmat perunding di Dewan Rakyat, hari ini.

“Sedangkan saya terbaca laporan berita oleh Bernama, bertarikh 6 Mac 2023 yang menyatakan Perdana Menteri mahu kurangkan khidmat perunding dan mahu tugas besar dalam penilaian projek dikembalikan kepada penjawat awam,” katanya.

Secara peribadi, ujarnya beliau menyambut baik saranan untuk mengurangkan kebergantungan kepada pihak konsultan dan perunding, seterusnya memberikan kepercayaan kepada keupayaan, kepakaran dan profesionalisme penjawat awam dan pegawai tinggi kerajaan, khususnya dalam kalangan pegawai-pegawai muda untuk menimba pengalaman.

“Soalan saya, mengapa peruntukan pada tahun ini meningkat sedangkan janji Perdana Menteri adalah untuk mengurangkannya,” kata beliau.

Mengenai Butiran 020100 Fiskal dan Ekonomi pula, beliau berkata Belanjawan 2023 menyaksikan nilai belanja mengurus (OE) telah mencapai paras 99 peratus berbanding anggaran hasil.

“Soalan saya, adakah kerajaan bercadang untuk mempertimbangkan suatu mekanisma bagi menetapkan paras ambang (threshold) untuk perbelanjaan mengurus berbanding hasil semasa, contohnya pada paras 90 peratus atau 85 peratus, supaya ruang fiskal kerajaan lebih anjal untuk melaksanakan program dan inisiatif membantu rakyat,” ujarnya.

Berhubung Butiran 020300 Belanjawan Negara, beliau bertanya adakah pihak kementerian bercadang untuk meneruskan fungsi pelaporan dan pemantauan seumpama yang dilaksanakan oleh Unit Pelaksanaan Dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ketika pelaksanaan pakej ransangan ekonomi sebelum ini.

“Ini sangat penting supaya kualiti penyampaian dan keberkesanan segala bantuan dan projek yang diumumkan dapat dipantau, malah rakyat juga dapat menilai pelaksanaannya secara terus dan interaktif,” katanya.

Syahir juga menyentuh Butiran P10 Pembangunan 09200 Projek Berimpak Tinggi Dan Kesejahteraan Rakyat.

“Saya melihat perbelanjaan sebenar 2021, sifar. Anggaran dipinda 2022, sifar. Anggaran 2023 RM500 juta,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau bertanya apakah perincian dan kriteria pemilihan projek berimpak tinggi itu.

Beliau menyarankan keutamaan perlu diberikan kepada enam negeri kurang membangun sebagaimana yang dinyatakan dalam RMK-12.

Mengenai Butiran 020500 subsidi dan bantuan tunai, katanya peruntukan berjumlah RM42.48 billion diharapkan benar-benar dapat disalurkan bagi menyerap kesan kenaikan kos yang menyumbang kepada kenaikan inflasi dan kos sara hidup rakyat.

Justeru, beliau memohon perincian kepada mekanisma cadangan pelaksanaan program subsidi bersasar bagi tahun ini.

Syahir juga ingin dapatkan pengesahan bahawa Ahli Parlimen Tambun sebagai Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan tidak menerima sebarang gaji dan elaun sebagai Menteri Kewangan, sebagaimana yang diperuntukkan di bawah butiran Bekalan 10 Butiran 010100 Pengurusan Am, Emolumen. – HARAKAHDAILY 13/3/2023

- Advertisement -