Peranan wanita bina masyarakat bertamadun

Norsah Bongsu
- Advertisement -

SANDAKAN: Wanita atau khususnya golongan ibu memainkan peranan penting dalam pembentukan dan pembinaan masyarakat yang bertamadun.

Ketua Muslimat PAS Sabah, Norsah Bongsu berkata, golongan wanita mempunyai peranan besar dalam mengasuh anak-anak dalam proses perkembangan minda dan fizikal masing-masing.

- Advertisement -

“Secara tidak langsung, wanita berperanan besar dalam membina keperibadian generasi seterusnya.

“Wanita diangkat darjatnya, yang  mana Rasulullah SAW mewajibkan kepada ibu bapa,   suami dan pemerintah untuk mengajar ilmu asas Islam kepada  golongan ini.

“Ini untuk memastikan bangsa kita bertamadun, berilmu yang tiada tolok bandingnya,” katanya. dalam ucap utama Kursus Training Of Trainers (TOT) Taska Tunas Insan (TASTI).

Kursus yang diadakan selama tiga hari dua malam anjuran anjuran Lajnah Pembangunan Keluarga, Dewan Muslimat PAS Sabah (DMPNS) yang berakhir semalam itu diadakan bagi membantu pengusaha, pembantu dan pendidik TASTI memantapkan penguasaan pengetahuan dan kemahiran perkembangan pendidikan terkini.

Menurut Norsah, situasi golongan wanita masa kini yang sibuk bekerja menyebabkan mereka terpaksa melepaskan tanggungjawab mendidik anak-anak mereka kepada taman-taman asuhan. 

“Peranan TASTI untuk menampung kelompangan itu dengan memperkukuh dan menerapkan akidah, sirah, kebersihan, kebajikan, tauhid dan kenabian sepanjang menjaga anak-anak jagaan,” ujarnya. 

Tambah beliau, DMPNS mengambil tanggungjawab memberikan sokongan padu kepada Lajnah Pembangunan Keluarga agar hasrat mengembangkan TASTI di Sabah terlaksana.

“Pihak pengurusan TASTI mengambil berat kualiti perkhidmatan dan keberhasilan anak-anak asuhan dan dalam masa sama menjaga kebajikan petugas tanpa mengabaikan budaya bekerja kerana Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/3/2023

- Advertisement -