KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen berharap bantuan segera banjir sebanyak RM50 juta yang dijanjikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut disalur kepada kerajaan negeri.
Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) berkata, bantuan itu dapat dimanfaat kerajaan negeri bagi membaiki kerosakan infrastruktur yang berlaku akibat banjir.
“Sebaik-baiknya bantuan tersebut disalur juga kepada kerajaan negeri bagi membaiki banyak kemudahan asas yang terjejas,” katanya pada perbahasan peringkat jawatankuasa Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Ketika melawat mangsa banjir di Kelantan pada Disember lepas, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan sebanyak RM100 kepada Kelantan dan Terengganu sebagai bantuan segera kepada mangsa banjir.
Bagaimanapun, kerajaan negeri menjelaskan bantuan yang dijanjikan Perdana Menteri tidak disalur melalui kerajaan negeri, sebaliknya dibuat melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan.
Abdul Latiff turut membangkitkan mangsa banjir sekarang terpaksa menunggu lama untuk mendapat bantuan segera RM1,000.
Sedangkan katanya pada 2021, mangsa banjir menerima bantuan tersebut seminggu selepas banjir berlaku.
“Begitu juga pada awal 2022, hanya selepas dua minggu bantuan segera diagih kepada mangsa banjir,” ujarnya.
Namun, kata beliau sekarang bantuan tersebut mengambil tempoh begitu lama sebelum diagih kepada mangsa banjir.
“Saya hendak tahu kerajaan berapa lama perlu diambil bagi membolehkan bantuan `one off’ dapat diagih kepada mangsa banjir,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/3/2023