Kakitangan dalam kontrak diberhentikan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pengkalan Chepa mendedahkan tindakan kerajaan sekarang menamatkan lantikan yang dibuat kerajaan sebelum ini membabitkan pelbagai agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, mereka yang masih mempunyai kontrak perkhidmatan, termasuk Pengerusi Lembaga Pengarah TV Hijrah, Prof Dato’ Dr Ab Halim Tamuri.

- Advertisement -

Ketika berada dalam kerajaan, katanya semua lantikan dalam kerajaan sebelum itu (Pakatan Harapan) tidak diusik kerana mereka mempunyai keupayaan profesionalisme masing-masing dan dibiarkan terus berkhidmat hingga tamat tempoh kontrak.

“Bagaimanapun, Dr Ab Halim yang juga mantan Rektor Kolej Universiti Islam Selangor yang dilantik pada Julai tahun lalu, tiba-tiba apabila bertukar kerajaan menerima surat pihak tertentu menamatkan pelantikannya.

“Beliau ada perancangan yang baik untuk dilaksanakan di TV Hijrah, tiba-tiba terbantut hanya kerana pertukaran kerajaan,” katanya dalam perbahasan peringkat jawatankuasa Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini..

Ahmad Marzuk berkata, keadaan di Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) pula membabitkan penamatan penjawat awam lantikan kontrak yang masih mempunyai kontrak perkhidmatan.

“Jangan gelojoh sangat, saya tahu YB (Yang Berhormat) menteri tak buat semua kerja ini. Saya kenal YB sebagai orang baik. YB terlalu baik untuk bersama dengan PH, DAP dan Umno,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/3/2023

- Advertisement -