ECERDC catat jumlah pelaburan komited RM16.9 bilion

Abdul Latiff Abdul Rahman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dalam tempoh RMKe-12, Majlis Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah mencatatkan jumlah pelaburan komited sebanyak RM16.90 bilion dengan jumlah pelaburan direalisasi sebanyak RM6.45 bilion.

- Advertisement -

Kementerian Ekonomi menyatakan pada 2021 dan 2022, ECERDC berjaya mewujudkan sebanyak 18,864 peluang pekerjaan dan 2,336 peluang keusahawanan di ECER.

Menurutnya, bagi pembangunan kawasan luar bandar di negeri-negeri Pantai Timur, sebanyak 95 projek dengan peruntukan berjumlah RM300.8 juta diluluskan di bawah RP2 Tahun 2022.

“Peruntukan ini adalah bagi melaksanakan program/projek seperti Jalan Luar Bandar (JALB), Bekalan Air Luar Bandar (BALB), Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) dan Jalan Perhubungan Desa melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Abdul Latiff Abdul Rahman [PN-Kuala Krai] di Dewan Rakyat, hari ini.

Abdul Latiff meminta Menteri Ekonomi menyatakan inisiatif kerajaan dalam membantu pembangunan infrastruktur dan penyaluran dana pembangunan untuk negeri-negeri Pantai Timur bagi mengurangkan jurang pembangunan antara wilayah.

Kementerian menyatakan di bawah Rolling Plan 3 Tahun 2023, negeri-negeri Pantai Timur yang meliputi Kelantan, Pahang dan Terengganu telah diluluskan peruntukan pembangunan asas sebanyak RM6.51 bilion.

Katanya, sejumlah 1,322 projek pembangunan di bawah pelbagai kementerian diluluskan.

Tambahnya, antara projek utama yang sedang dilaksanakan di negeri-negeri Pantai Timur adalah projek menaik taraf jambatan merentasi Sg. Marang di Laluan FT003 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, pembinaan bangunan baru pusat pakar pergigian (non-hospital based) Terengganu, projek pembinaan Stadium Bukit Merbau, Kompleks Sukan Bukit Merbau, Pasir Puteh, projek pembangunan di pihak berkuasa tempatan Kelantan, kos projek RM150 juta); dan Program Perumahan Rakyat (PPR) Bera. – HARAKAHDAILY 13/3/2023

- Advertisement -