Daurah Ansarullah Muslimat Perak suntik kekuatan

- Advertisement -

LUMUT: Lajnah Tarbiyah Dewan Muslimat PAS Negeri Perak berterusan menjayakan peranan menyuntik semangat juang dalam diri ahli-ahlinya menerusi penganjuran Daurah Ansarullah di Kompleks At-Ta’lim, di sini kelmarin.

Pengerusi Lajnah Tarbiyah Muslimat PAS Perak, Ustazah Aliyah Abdul Aziz berkata, program tersebut bagi memastikan anggota dewan itu sentiasa dipersiapkan dengan ilmu dan kefahaman berteraskan al-Quran dan as-Sunnah.

“Hasil program ini diharap akan meningkatkan kekuatan rohani yang mantap dalam kalangan ahli Muslimat serta menyediakan Jentera 12,000 Ansarullah dalam menghadapi PRU16 akan datang,” ujarnya yang juga Naib Ketua Muslimat PAS Perak.

Antara kertas kerja dibentangkan adalah bertajuk ‘Ukhuwah Islamiyah’ oleh Timbalan Ketua Muslimat PAS Perak, Ustazah Husna Saidon yang membawa peserta menelusuri sirah persaudaraan antara Muhajirin dan Ansar oleh Rasulullah SAW.

Beliau menekankan aspek berlapang dada sesama anggota serta mengutamakan kebajikan sahabat sekeliling dalam usaha membina ikatan ukhuwah yang teguh bagi mengukuhkan binaan organisasi parti itu sendiri.

“Sikap buruk sangka, malas mengikuti program jemaah serta tidak bersedia ditarbiyah mengikut acuan parti adalah penyebab runtuhnya jemaah dan menguntungkan musuh Islam,” peringat beliau.

Manakala kertas kerja ‘Tarbiyah Ruhiyah Kekuatan Jemaah’ dibentangkan tokoh murabbi PAS Perak, Tuan Guru Sidek Noor yang menekankan usaha pembersihan jiwa dan pemantapan iman serta takwa dalam kalangan pendukung.

Katanya, pertolongan Allah SWT hanya akan diperolehi apabila anggota jemaah telah melalui tazkiyatun nafs atau pembersihan jiwa dan sentiasa mendekatkan diri kepada Allah menerusi amalan ruhiyah secara berdisiplin.

“Pendukung gerakan Islam perlu melahirkan diri dengan qiyamullail dan solat tahajud setiap malam kerana amalan ini merupakan kunci kekuatan dan kejayaan gerakan Islam sepanjang zaman,” nasihatnya.

Program dihadiri 145 peserta dari seluruh negeri ini telah dirasmikan Ketua Muslimat PAS Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad dan diakhiri dengan doa wehdah pimpinan Ketua Penerangan Muslimat PAS Perak, Ustazah Hasna’ Abdul Samad. – HARAKAHDAILY 13/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -