Covid-19: Usahawan gulung tikar sedia mulakan perniagaan

Datuk Muslimin Yahaya
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kebanyakan usahawan yang telah gulung tikar iaitu 97.8 peratus menyatakan kesediaan untuk memulakan semula perniagaan, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

- Advertisement -

Menurutnya, bantuan utama yang diperlukan adalah dari segi geran, pembiayaan serta latihan dan bimbingan keusahawanan.

Beliau menyatakan dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) di Dewan Rakyat, hari ini.

Muslimin dalam soalannya meminta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyatakan berapa ramai usahawan-usahawan yang telah gulung tikar dari waktu pandemik Covid-19 sehingga kini dan apakah usaha Kementerian untuk membantu usahawan ini dan sehingga kini sudah berapa ramai yang telah bangkit memulakan perniagaan semula.

Ewon berkata, berdasarkan empat siri kaji selidik yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) pada tahun 2020 hingga 2022, bilangan usahawan gulung tikar ialah 104,785 usahawan (8.85 peratus) pada April 2020; 37,415 (3.16) Jun 2021; 17,371 (1.38) Februari 2022 dan 33,838 (2.7) pada November 2022.

“Kesan jangka panjang Covid-19 dan kenaikan harga barang dilihat menjadi sebab utama usahawan menutup terus operasi perniagaan mereka,” katanya.

Pada tahun ini, ujarnya kementerian terus komited membina kelangsungan momentum pemulihan sektor keusahawanan melalui intervensi bersasar di bawah Pelan Strategik Kementerian 2023 yang mengandungi 185 program dan dijangka akan memberi manfaat kepada lebih 543,080 usahawan dan bakal usahawan.

Katanya lagi, kementerian juga akan meningkatkan program libat urus secara bersemuka untuk lebih responsif terhadap keluhan usahawan di lapangan dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik dan efektif.

Selain itu, jelasnya usahawan turut disaran supaya melayari platform sehenti dalam talian MyAssist MSME bagi mendapatkan khidmat nasihat dalam talian daripada kaunselor perniagaan (MeetMe), perkhidmatan padanan perniagaan, peluang memasarkan produk/ perkhidmatan melalui ePameran dan maklumat berkenaan program/ bantuan yang ditawarkan oleh pelbagai agensi pembangunan keusahawanan.

Beliau berkata, bagi membantu usahawan yang berdepan dengan masalah pengurusan kewangan yang serius dan berisiko muflis, kementerian telah bekerjasama dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk Program Intervensi Peluang Kedua.

“Pada tahun 2022, 664 usahawan telah diberi kesedaran mengenai ketersediaan peluang kedua menerusi pelbagai inisiatif yang disediakan oleh kerajaan,” katanya.

Daripada jumlah tersebut, ujarnya seramai 40 usahawan telah dipilih untuk mengikuti Program Bimbingan Khas INSKEN selama empat bulan yang bermula pada 17 Oktober 2022.– HARAKAHDAILY 13/3/2023

- Advertisement -