Beri ruang rakyat Perlis sertai Projek Lembah Chuping

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, meminta kerajaan membuka ruang kepada rakyat Perlis untuk terlibat sama dalam Projek Pembangunan Lembah Chuping atau Chuping Valley Industrial Area (CVIA).

Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL (PN) itu berkata demikian berdasarkan kontrak yang diberi untuk CVIA tidak melibatkan rakyat tempatan.

- Advertisement -

Justeru itu, beliau meminta penjelasan kerajaan, sama ada tender bagi projek berkenaan dapat dibuka kepada penyertaan kontraktor tempatan dan diberi secara terhad kepada rakyat Perlis.

“Kita lihat semua tidak melibatkan orang Perlis. Jika begini, orang Perlis akan ada masalah, terutamanya gaji tidak dapat dibayar.

“Kemudian, projek semua orang Perlis tak boleh tumpang, walaupun projek kecil. Apakah tumpangan akan dibuat, sekurang-kurangnya sub kerja ini diberi kepada orang Perlis?” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengemukakan soalan tambahan pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan, di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab soalan itu, Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli berkata, penyertaan rakyat Perlis dalam CVIA tertakluk kepada peraturan perolehan kerajaan.

Pada masa sama, katanya ia bergantung kepada keperluan untuk memastikan projek Lembah Chuping berjalan dengan baik.

Katanya, terdapat dua komponen dalam pembangunan projek itu, iaitu penyediaan infrastuktur yang berada di bawah kerajaan Persekutuan melalui pembiayaan peruntukan pembangunan serta komponen yang diusahakan kerajaan negeri.

“Jadi saya yakin dengan kerjasama dua-dua, soal penyertaan usahawan tempatan bagi komponen-kompenen itu dapat disesuaikan dan diambil kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/3/2023

- Advertisement -