Artis teruja diundang hibur peminat di Kelantan

Zara Zya
- Advertisement -

KOTA BHARU: Tiga artis yang menjayakan Gegey Gegok Anok Mudo Kelate melahirkan rasa keterujaan apabila diundang kerajaan Kelantan.

- Advertisement -

Lebih menarik mereka menyifatkan Kelantan bukan sahaja sebuah negeri yang harmoni, sebaliknya ‘tertawan’ dengan makanan yang pelbagai jenis dan rasa.

Zara Zya atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin menyifatkan Kelantan sebuah negeri yang ‘comel’.

“Zara datang sini mesti nak makan, kerana Kelantan ni terkenal dengan pelbagai jenis masakan dan makanan yang ada,” ujarnya ketika ditemui.

Zara Zya diundang khas kerajaan negeri menyertai program forum yang bertajuk ‘Pemudi Yang Dirindui Syurga’ bersama selebriti dakwah ‘Ustazah Nazirah Abu Bakar.

Khai Bahar atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin turut meminati makanan di Kelantan khususnya ikan bakar.

Katanya, terlalu banyak makanan yang terdapat di Kelantan sehingga membuatkan beliau sukar untuk memilihnya.

“Kalau datang Kelantan, dalam kepala ni asyik fikir nak makan jer dan Khai suka ikan bakar,” katanya.

Beliau turut merakam ucapan terima kasih pada Urusetia Belia dan Sukan (U-BeS) kerana mengundangnya untuk menghiburkan peminat sempena Festival Beliawanis Kelantan dan Male Gegey Gegok Anok Muda Kelate.

Kata beliau walaupun sering membuat persembahan di Kelantan, namun pertama kali diundang kerajaan negeri.

“Alhamdulillah Khai dapat bertemu dengan peminat di Kelantan menerusi slot yang berbeza,” ujarnya.

Wani Hasrita

Wani Hasrita turut melahirkan keterujaan apabila diundang untuk menghiburkan peminatnya di Kelantan termasuk di hadapan isteri-isteri pimpinan kerajaan negeri.

Wani memenuhi slot Ladies Night turut melahirkan keterujaannya untuk membuat persembahan di Kelantan.

Beliau juga tidak menduga ada program khusus untuk wanita berhibur secara tertutup.

“Kita rasa mustahilkan.. tetapi sebenarnya tidak. Malah kita lagi rasa yakin dan bebas untuk kongsi sesuatu perkara sesama kita,” ujarnya.

Wani turut menyifatkan Kelantan sebuat negeri yang sangat unik dan menarik kerana mempunyai identitinya yang tersendiri.

“Sampai Kelantan terus je fikir apa nak makan. Makanan paling best sekali ikan bakar,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 13/3/2023

- Advertisement -