9.4 juta orang terima manfaat YaPEIM

Tuan Guru Zulkifli Ismail
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: YaPEIM telah berupaya memberi manfaat kepada sekitar 9.4 juta orang terdiri daripada pelanggan, pengguna dan penerima manfaat produk dan perkhidmatan YaPEIM sehingga 30 November 2022.

- Advertisement -

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, seramai 232,761 orang telah membuat sumbangan infaq dan lebih 8.29 juta orang telah menerima manfaat Program Amal Jariah YaPEIM.

Beliau menyatakan demikian dalam jawpaan bertulois kepada soalan Tuan Guru Zulkifli Ismail [PN-Jasin] di Dewan Rakyat, hari ini.

Tuan Guru Ismail dalam soalannya meminta Perdana Menteri menyatakan apakah perancangan dan hala tuju Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dalam membangun ekonomi umat Islam khususnya dalam suasana tekanan ekonomi pada hari ini.

Menurut Mohd Na’im, dalam suasana tekanan ekonomi pada hari ini, YaPEIM telah mengambil langkah proaktif untuk terlibat dalam pembangunan sosioekonomi umat Islam melalui pelbagai inisiatif termasuk inisiatif seperti Pelan Pembangunan Usahawan YaPEIM membuat pengskalaan pembangunan usahawan yang bermula daripada peringkat Idea/Inovasi kepada Mikro/Startup seterusnya kepada Kecil/Startup seterusnya kepada Sederhana/Startup dan seterusnya kepada kategori Besar.

Katanya, setiap peringkat penskalaan itu akan disokong dengan bentuk sokongan program yang bersesuaian dan mengikut tahap masing-masing bagi tujuan pemerkasaan.

Tambahnya, YaPEIM mensasarkan seramai 4,000 orang usahawan yang akan terlibat di dalam program-program keusahawan itu.

Di samping itu, ujarnya Pelan Pembangunan Komuniti Setempat YaPEIM yang telah dilancarkan pada 6 Februari 2023 mensasarkan pembangunan sebanyak 10 komuniti setahun di seluruh Malaysia.

“YaPEIM turut komited untuk membangun satu projek bagi setiap satu komuniti dengan anggaran pendapatan tambahan sehingga RM500 seorang bagi ahli projek sebulan,” ujarnya.

Selain itu, katanya Pelan Pengembangan Dan Pertumbuhan Ekonomi Ummah melalui Peningkatan Dan Kelestarian Pemilikan Aset mensasarkan 500 orang Usahawan Emas YaPEIM, pertambahan pemilikan aset emas masyarakat sebanyak 144 kg dan pembelian emas daripada masyarakat dengan harga yang kompetitif.

Pelan itu, jelasnya menggariskan tiga fokus utama iaitu meringankan beban masyarakat terutama golongan B40 dengan pelbagai bantuan kewangan yang lebih inklusif, menambah pendapatan rakyat dengan   program pembangunan ekonomi dan produk YaPEIM dan meningkatkan pemilikan aset rakyat dengan memastikan simpanan masa depan dan persaraan mereka terjamin. – HARAKAHDAILY 13/3/2023

- Advertisement -