PAS cukup tinggi toleransi dalam perjuangan

- Advertisement -

KOTA BHARU: PAS diakui sebuah parti Islam yang cukup tinggi sikap toleransi dalam perjuangan dan bukan sebagaimana cuba digambarkan pihak tertentu sebagai parti ekstrem.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata perjuangan PAS berasaskan agama cukup istimewa dan mempunyai toleransi yang murni sepatutnya diketahui umum.

“Sebagai contoh PAS sebuah parti yang boleh menerima pemimpin dari negeri lain bertanding di negeri itu sejak dahulu lagi.

“Kalau dilihat dari aspek sejarah, menteri dan bekas-bekas menteri yang bertanding di Kelantan sebelum ini dari luar Kelantan, tetapi PAS meraikan mereka dan memberi kedudukan yang baik sebagai ahli parti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kota Bharu Kali Ke-56 di Dewan Jubli Perak di sini semalam.

Turut hadir Yang Dipertua PAS Kota Bharu Datuk Seri Takiyuddin Hassan, timbalan YDP Datuk Ramli Mamat dan Naib YDP Nor Azariza Mohd Alawi.

Shahidan berkata, PAS telah membuktikan sikap toleransinya yang bersesuaian dengan wadah perjuangan parti itu yang berlandaskan Islam.

“Walaupun perjuangannya berasaskan Islam, namun terbukti perjuangannya sesuai untuk semua bangsa dan pelbagai anutan agama,” katanya.

Katanya, kerajaan Kelantan membuktikan perkara itu di mana masyarakat minoriti di negeri itu bukan hanya hidup aman, sebaliknya bebas dalam menjalankan anutan agama mereka.

Beliau turut menaruh keyakinan sekiranya PAS dan PN mentadbir negara, Malaysia akan menjadi aman sebagaimana yang berlaku di Kelantan sekarang.

“Namun malangnya gambaran negatif diberikan pihak lawan yang menyamakan PAS agresif, Taliban dan sebagainya, sedangkan yang baik mereka langsung tidak tonjolkan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 12/3/2023

- Advertisement -