Lain hulu, lain parang

- Advertisement -

DAHULU, masa dia ke mahkamah, kita boleh berdemonstrasi bagi menyatakan perasaan kita yang tidak berpuashati dengan pendakwaan yang kita sifatkan sebagai pendakwaan terpilih. Sekarang tidak boleh, kena selesaikan dalam mahkamah sahaja, bukan di luar. Semua perhimpunan dianggap bodoh dan tidak berguna kerana menyokong perasuah.

Dahulu waktu dia sebagai pesalah yang masih dibicarakan, tidak kering lidah berhujah dalam ceramah, mendahului keputusan hakim mendakwa yang dia dianiaya. Sekarang Menteri sibuk berpesan, berhujahlah dalam mahkamah, bukan di luar mahkamah. Apa yang dia buat dahulu, tak boleh dibuat sekarang.

Dahulu mahkamah berat sebelah, mahkamah dicampuri oleh tangan-tangan yang mengotori keadilan, hakim gula-gula batuk Hacks diberi gelaran. Sekarang mahkamah yang sama, sistem yang sama, tiba-tiba jadi bersih, baik, adil dan saksama.

Dahulu tidak bersalah walaupun sudah dua kali dijatuhkan hukuman. Hanya berani memberi keterangan dari kandang saksi dan tidak boleh disoal oleh pendakwa. Sekarang, belum siasat, belum didakwa, belum dibicara dan belum diputuskan bersalah, dia sudah isytihar nama lawan sebagai penyeleweng.

Dahulu boleh kutuk kerajaan, kutuk pimpinan negara sesuka hati, bawa cerita ke luar negara, jatuhkan reputasi supaya ekonomi tidak stabil. Sekarang asal kutuk, saman, asal kutuk, saman, asal saman, kutuk. Sampai ekonomi nampak jadi tak stabil sebab dia sendiri yang buat.

Dahulu royalti petroleum wajib diberikan hanya kepada pemerintah yang telah dipilih secara sah oleh rakyat, melalui pilihan raya. JPP ditubuhkan adalah untuk ganggu pentadbiran. Ia satu kezaliman. Sekarang, tidak perlu salurkan duit royalti kepada kerajaan yang sah, tetapi akan diberikan terus kepada orang miskin melalui JPP. Ia bukan lagi kezaliman, tetapi kelaziman dahulu diteruskan.

Dahulu penulis buku Qazaf dipuji kerana mempertahankan hukum Allah, sebab tuduhan itu, terkena atas dirinya. Penulis itu digegerkan sebagai ulamak hebat, faham agama. Sekarang, nak pertahankan hukum Allah? So sorry, I’m liberal.

Dahulu, PAS baca Hadis, baca ayat al-Quran tidak mengapa, sangat bagus sebab sokong dia, walaupun dia sudah beberapa kali kena penjara sabit kesalahan. Sekarang PAS baca al-Quran dan Hadis sama seperti dahulu, tak boleh, dikira salah, sebab sokong tertuduh, biarpun tertuduh baru didakwa.

Dulu Perdana Menteri tidak boleh jadi Menteri Kewangan, sekarang, boleh saja, asalkan aku yang jadi kedua-duanya.

Dahulu kroni memusnahkan negara walaupun layak. Sekarang kroni boleh, walau tak layak, asal anak aku.

Dahulu mana-mana menteri yang disiasat kerana sesuatu kes, dipaksa bercuti atau letak jawatan walaupun kes belum bermula atau hukuman belum jatuh. Sekarang, menteri spesis begitu, boleh diajak duduk di kerusi nombor dua paling tinggi.

Dahulu peruntukan mesti sama banyak kepada Ahli Parlimen Kerajaan atau pembangkang, semua mereka dipilih secara sah oleh rakyat melalui sistem Perlembagaan. Sekarang, maaf, peruntukan besar untuk kita dalam kerajaan sahaja. Pembangkang? Nasiblah nak jadi apa.

Dahulu Deepak si tauke permaidani tu sangat jahat sebab kawan dengan Najib, dapat untung itu dan ini kata mereka. Sekarang Deepak sangat baik dah jadi Madani. Sebab apa? Entah.

Dahulu, kena tolong rakyat, bukan tolong bank, bank sudah kaya raya, panjangkan tempoh moratorium, benarkan wang KWSP, hak rakyat dikeluarkan. Sekarang, nak duit KWSP? Oh, boleh, pergi pinjam dengan bank, nanti bayar bunga kat bank. Ini bukan untungkan bank, tetapi nak jaga duit rakyat untuk masa depan katanya.

Dahulu menteri kena kutuk, kena marah sebab dikatakan sengaja salah guna kuasa kerana menyusahkan parti dia didaftarkan. Sekarang menteri campur tangan, benarkan parti kawan langgar akta yang terang-terang salah menurut Perlembagaan.

Dahulu, banyak formula, itu ini, begitu begini. Sekarang, saya tak pernahpun janji begitu. Yang janji begitu, PAS. Bila tengok semula video, lencun kena kencing.

Dahulu ulamak adalah tonggak kepada perjuangan Islam, ulamak dirujuk, dihormati dan sudah tentu semua itu kerana menyokong dia. Sekarang kepada ulamak tersebut, apa yang dia tidak kata? Jahat sangat sampai apa yang tidak dibuat ulamak itu pun disebut-sebut juga.

Dahulu boleh merampas kerajaan, ajak orang itu orang ini jatuhkan kerajaan, bukan sekali, entah berapa kali, asyik melalak I have numbers, I have numbers. Sekarang tak boleh, sebut nak jatuhkan kerajaan, lapor polis, sebut saja, lapor. Akta mana yang dia pakai, tak tahu.

Dahulu kerajaan hilang RM600 bilion sebab salah guna kuasa. Lepas itu jadi kurang dan makin kurang. Sekarang nampaknya sudah tidak ada salah guna kuasa. 

Lain dahulu, lain sekarang. Hanya yang tidak berubah dari dahulu hingga sekarang ialah penyokong mereka. Tetap setia menanti habuan-habuan, berita-berita fitnah untuk dikongsi buat modal untuk mengutuk. Mereka sangat gembira jika dibekalkan dengan cerita buruk lawan, walaupun rekaan. Biarlah apa yang ketua mereka buat. Taat dan walak adalah ciri utama kumpulan mereka. Kesetiaan mereka tidak berbelah bahagi. Bila dia sudah kelihatan bodoh sangat, dia kata kita pula yang bodoh, nak elak malu.

MOHD NASIR ABDULLAH
12 Mac 2023 – HARAKAHDAILY 12/3/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -