Azmin imbas sejarah Anwar menagih dukungan PAS

- Advertisement -

GOMBAK: Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pernah mendapatkan dukungan PAS untuk menyelamatkannya, namun hari ini bersikap menggigit dan gila kuasa serta lupa daratan setelah menjadi Perdana Menteri.

Ketua Pengarah Pilihan Raya BERSATU, Dato’ Seri Azmin Ali berkongsi pengalaman di Dewan Dato’ Fadzil Mohd Noor yang menjadi sejarah pembelaan ke atas di Markas PAS Pusat, Taman Melewar, di sini sebentar tadi.

Katanya, babak-babak kezaliman tersebut kini sedang berulang dilakukan pemerintah ke atas Perikatan Nasional (PN), namun PN perlu terus mara untuk mengangkat martabat umat dan memakmurkan negara ini.

“Di dewan inilah kita berhimpun sekian lama untuk menyelamatkan seorang manusia yang dizalimi pada ketika itu, tetapi hari ini bila diberikan sedikit kuasa, manusia ini sudah gila kuasa, lupa daratan.

“Dan hari ini manusia ini menyerang Tok Guru, menyerang PN parti yang telah menyelamatkan beliau dan membebaskan beliau daripada penjara. Sebab itu, pada malam ini kita berhimpun sekali lagi untuk mengingatkan kepada manusia ini dan badut-badut yang berada dalam kumpulannya.

“Kamu tunggu dalam pilihan raya negeri yang akan berlangsung tidak lama lagi, rakyat akan bangkit dan humban Pakatan Harapan dan mereka yang zalim. Saya bukan marah, tapi saya geram. 

“Sebab saya berada di dewan ini semenjak 1998, beliau meminta saya untuk membantunya dan mendapatkan dukungan PAS,” ujarnya yakin kuasa pada Anwar tidak akan bertahan lama.

Kata Azmin, tidak ada salahnya hendak menukar kerajaan, setelah pula mereka menghadapkan kepada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pertuduhan fitnah sedangkan beliau bukan perompak, perasuah atau penyamun.

“Tetapi beliau dituduh, diheret ke mahkamah kerana inilah insan yang telah melancarkan gerakan massa bersama-sama dengan PAS dan GERAKAN atas nama PERIKATAN NASIONAL.

“Sehingga dalam Pilihan Raya Umum yang ke-15, kita berjaya menang dengan bergaya dan mendapat sokongan yang besar daripada rakyat Malaysia,” ujar beliau.

Menurut beliau, kerajaan hari ini berada dalam keadaan yang cukup cemas kerana momentum rakyat pada PRU15 masih kuat di bawah di mana kemarahan rakyat terhadap PH semakin meluap. 

“Kita minta supaya mereka bersama-sama menentang korupsi, hari ini korupsi menjadi darah daging keluarga PH. Rakyat minta mereka menentang nepotisme, nepotisme menjadi semakin subur di dalam kerajaan campuran dan kerajaan luar tabii ini,” bidasnya.

Beliau turut menyifatkan pentadbiran Kerajaan ketika ini sebagai angkuh dan sombong, selain gagal menyelesaikan pelbagai masalah di sebalik janji dan formula-formula yang mereka nyatakan sendiri.

Peringat Azmin, rakyat minta kerajaan menghentikan buruan politik, dan politik dendam kesumat hasat serta dengki sebagaimana yang dilakukan oleh Perdana Menteri sendiri pada ketika ini. – HARAKAHDAILY 11/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -