Yayasan Petronas bangun modal insan pelajar B40

- Advertisement -

KOTA BHARU: Yayasan Petronas Empower ECER Akademik melaksanakan program pembangunan modal insan melibatkan 400 pelajar daripada keluarga B40.

- Advertisement -

Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Mohamad Ahmad Shazly Ramli berkata,
pelajar berkenaan dari jajahan Kuala Krai dan daerah Besut di Terengganu.

“Melalui program tersebut, peserta yang terdiri daripada pelajar tingkatan lima dibantu untuk meningkatkan prestasi akademik serta kemahiran insaniah pelajar,” katanya pada Majlis Kolaborasi dan Apresiasi Program Pembangunan Modal Insan ECER di sini semalam. (Foto atas)

Pelancaran disempurnakan Menteri Besar Kelantan Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakub. Turut hadir Setiausaha Kerajaan Megeri Datuk Nazran Muhammad.

Shazly juga berkata, program Yayasan Petronas Empower ECER merupakan program latihan kemahiran dan keusahawan yang dijalankan oleh Yayasan Petronas.

Menurutnya program itu mendapat kerjasama rakan strategik Majlis Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECERDC).

“Program tersebut turut disokong rakan pelaksana Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaysia Pahang, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Institut Piawaian dan Penyelidikkan Malaysia (SIRIM).

“Peserta yang terpilih dari golongan B40, lepasan SPM, usahawan baharu dan sedia ada dari daerah Kota Bharu, Kuala Krai, Pasir Mas, Machang, Besut dan Jerantut,” katanya.

Beliau juga berkata, setiap peserta akan menjalani latihan kemahiran dan keusahawanan selama 12 bulan.

Antara latihan kemahiran tersebut termasuk bidang dandanan rambut dan terapi kecantikan, jahitan, percetakan, sulaman dan produk kreatif, pembuatan makanan, membaik pulih peralatan elektrik, refleksologi dan kesihatan.

Selain itu peserta juga didedah ilmu keusahawan terutamanya pengurusan perniagaan secara profesional meliputi aspek pengurusan kewangan, peningkatan mutu produk serta pemasaran produk.

Sementara itu pada majlis tersebut Menteri Besar menyampaikan sijil kepada 16 peserta terbaik Program Empower ECER sesi 2020/22. – HARAKAHDAILY 10/3/2023

- Advertisement -