Masjid Rusila kilang mencetak ummah

Masjid Rusila.

Tempat jatuh lagi dikenang inikan pula tempat memula perjuangan.

Saya mula menjejak kaki ke Masjid Rusila pada akhir tahun 1985, tidak lama selepas berlakunya peristiwa tragedi Memali.

Kemudiannya pada pertengahan tahun 1986, sewaktu saya menuntut di Sekolah Menengah Marang Terengganu, saya menyewa (rumah Tok De – tapak Dewan Tok Guru sekarang) di Kampung Rusila bersebelahan masjid.

Sejak itu, saya mengikuti Kuliah Tafsir Al-Quran dan Hadis yang dibimbing oleh Ayahanda Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang tanpa gagal pada setiap pagi Jumaat. Juga kelas malam Selasa untuk pembacaan kitab Ma’alim Fit Toriq dan Aqidah Muslimin.

Advertisement

Bahkan sewaktu saya menuntut di Pondok Pasir Tumbuh sekitar tahun (1987-1990) saya masih berulang alik ke Rusila pada setiap hari Jumaat, bergilir minggu dengan Dewan Zulkifli di Kota Bharu untuk mengikuti pengajian Tafsir bimbingan Tok Guru Nik Aziz (Al Marhum).

Masjid Rusila merupakan tempat saya mula mendapat kesedaran untuk memulakan hidup sebagai seorang Muslim yang benar-benar mempraktiskan agama yang dianut. Saya mula mengenali erti perjuangan Islam dan memahami keperluan memberi intimak kepada gerakan Islam.

Era pertengahan dan akhir 80-an itu menyaksikan puluhan ribu umat Islam dari seluruh negara, datang berkampung di Masjid Rusila untuk mengikuti pengajian tafsir Al-Quran. Sebahagiannya telah berkhemah di pantai Rusila sejak hari Rabu sambil menanti hadirnya Jumaat yang barakah.

nasrudinta
Nasrudin Hassan

Kuliah Tafsir Al Quran di waktu dhuha hari Jumaat itu telah berlangsung sekian lama tanpa henti sehinggalah ke hari ini. Entah berapa juta yang telah dicetak kefahamannya melalui cahaya Al-Quran yang ditafsir oleh Tok Guru. Sebuah pentafsiran yang mendekatkan ummah kepada Al-Quran lalu menjadi generasi Al Quran memandu hidup mereka.

NASRUDIN HASSAN
Sekali Serban Dililit. 180
17 Sya’aban 1444 | 10 Mac 2023 – HARAKAHDAILY 10/3/2023