Gelombang Hijau tidak kenal sempadan negeri

- Advertisement -

PILIHAN Raya Umum Negeri ke-15 buat enam buah negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dijangka diadakan pada lewat suku ke dua atau awal suku ketiga tahun ini.

Berdasarkan perkembangan politik semasa dan kecenderungan para pengundi Melayu yang terus dilihat tidak yakin pada Perdana Menteri ke-10 dan kerajaan campurannya, PRN di enam buah negeri ini dijangka sengit dan mencabar survival dan kemampuan politik Pakatan Harapan serta rakan barunya, Barisan Nasional.

Hasil kajian 02 Research Malaysia dengan kolaborasi lima media saluran perdana baru-baru ini, yang mendapati bahawa 71 peratus responden Melayu tidak yakin pada Kerajaan Campuran PH-BN, adalah petanda bahawa ‘Gelombang Hijau’ yang bergelora ketika PRU Parlimen ke-15 pada November 2022 lalu, masih ganas. Ia tidak susut selepas PRU Parlimen ke-15, ia terus bergelora ketika Pilihan Raya Parlimen Padang Serai sehingga membawa kemenangan besar buat calon PN meranapkan calon PH-BN.

Dan hasil kajian 02 Research ini membuktikan walau Datuk Seri Anwar Ibrahim telah naik sebagai Perdana Menteri ke-10 dan membentuk kerajaannya, ketidakpuasan hati umat Melayu Islam tidak reda malah makin panas.

Anwar dan gabungan PH-BN sejujurnya cemas dengan perkembangan ini, tetapi sedaya upaya cuba melindunginya. Terbaru untuk mematahkan hasil kajian ini mereka telah mengerahkan kajian sendiri yang dilakukan oleh sebuah syarikat kajian Vase.ai yang difahamkan pro mereka. ‘Denial syndrome‘ mereka ini sukar tertegak kerana ‘Gelombang Hijau’ ini adalah satu fenomena yang semulajadi bukannya sesuatu yang mampu direkacipta sesiapa.

Buatlah kajian yang direka-reka apa sekalipun hakikatnya gelombang ini terlalu menebal tertunjam dalam jiwa umat Melayu Islam yang telah membara sekian lama, dan kiranya berterusan ia sudah pasti mampu mempengaruhi keputusan PRN di enam buah negeri yang dimaksudkan.

Hari ni pun kebanyakan para penganalisa politik menjangkakan PN-PAS bakal kekal di tiga buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah. Di Kedah umpamanya tiada tokoh yang dilihat mampu menandingi personaliti Menteri Besar Kedah, Datuk Seri  Muhammad Sanusi Md Nor, yang kebelakangan ini cukup popular di media sosial.

Tokoh-tokoh politik PN umpama Sanusi dan lain-lain dilihat selari dengan selera dan kehendak rakyat. Mereka cukup disenangi dan realiti ini menambah lonjakkan lagi gelora ‘Gelombang Hijau’ itu. Tambahan apabila tokoh DAP pandai-pandai mahu menyerang atau memperlekehkan tokoh-tokoh PN ini, ia semakin mempertingkatkan lagi simpati dan sayang rakyat pada mereka.

Kelantan, Terengganu dan Kedah bagi sesetengah pihak sudah dalam tangan. Pertarungan sebenar kini adalah di baki tiga buah negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Di Pulau Pinang genggaman DAP cukup kuat. Negeri tunggal DAP ini dijangka kekal namun PN berkemampuan menguasai saki-baki kerusi Melayu terutama di ‘tanah besar’ dan sebahagian kawasan Melayu di pulau, menumbangkan calon-calon PKR Melayu dan PAN di kerusi-kerusi mereka.

Demikian juga di Negeri Sembilan. Walau bagaimanapun kiranya gelombang perubahan yang melanda terlalu kuat dan besar, tidak mustahil sebagaimana Perlis, Negeri Sembilan juga boleh kecundang buat PH-BN.

Tumpuan sekarang adalah Selangor, mampukah Selangor ditumbangkan oleh fenomena ‘Gelombang Hijau’ ini? Bolehkah PN menang paling kurang 29 dari 56 kerusi, sebagai majoriti mudah untuk melayakkannya membentuk Kerajaan Negeri Selangor yang baru?

Berdasarkan angka dan trend semasa, tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa PN sesungguhnya punya peluang cerah di Selangor. Konflik di dalam Umno Selangor adalah kritikal, dan apabila Umno sedar yang PH tidak akan memberi kerusi DUN kepadanya untuk ditandingi kecuali kerusi-kerusi yang ia ada, konflik ini akan semakin kronik dan ramai dijangka ‘lari’ dari Umno.

Demikian juga DAP Selangor sebenarnya pun bukan tenang tetapi penuh bermasalah. Ramai yang tidak dapat menerima keputusan berbaik dengan Umno. DAP Selangor sendiri berpecah dengan kumpulan tradisional, mereka yang berpendidikan Cina dan yang berpendidikan bukan Cina. Masing-masing akan tikam menikam menjelang PRN ini.

Sedar tak sedar dalam keghairahan ‘denial syndrome‘ mereka itu seorang ADUN PKR Selangor dengan bongkak menyatakan bahawa PH akan kekal berkuasa di Selangor (sila lihat The Sunday Star 5 Mac, 2023 muka 10 ‘Target of the next green wave’). Alasan beliau serius kerana beliau sesungguh telah menghina kaum Melayu.

Katanya Melayu di Selangor tidak seperti Melayu di Kelantan atau Kedah. Melayu Selangor dakwanya lebih rasional dan menilai rekod tiga penggal Kerajaan PH Selangor.

Dalam ‘denial syndrome’ beliau cuba membeza-bezakan kaum Melayu ikut sempadan negeri, seolah mereka yang di Kelantan dan Kedah tidak serasional kaum Melayu di Selangor. Benarkah begitu?

Hakikatnya umat Melayu Islam yang terlibat sendiri sebagai arkitek ‘Gelombang Hijau’ ini tidak mengenal sempadan atau batas negeri. Sama sahaja Melayu Kedah, Kelantan malah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang atau Johor sekalipun.

Hari ini kesedaran politik umat Melayu itulah yang membangkitkan gelombang ini dan mereka di mana sahaja pelosok Semenanjung sudah semakin curiga dan hilang keyakinan pada PH dan BN-Umno. Keputusan PRU Parlimen November 2022 baru-baru ini adalah bukti. Keputusan kajian 02 Research Malaysia mengesahkan bahawa gelombang ini masih panas ‘hidup’.

Umat Melayu di mana sahaja hari ini mahukan pemimpin yang bersih, berintegriti, mengutamakan politik penyatuan ummah dan benci pada mereka yang rasuah dan rasis.

Memang PKR akan cuba menafikan wujud gelombang ini tetapi realitinya mereka sedar mereka sudah tidak lagi mampu mempengaruhi atau menguasai pengundi Melayu Islam. PAN yang sebelum ini merupakan alat PH terutama DAP untuk meraih undi Melayu dilihat gagal berperanan, malah dalam PRU Parlimen baru-baru ini tinggal berbaki 8 kerusi Parlimen sahaja, itupun menang atas simpati undi masyarakat bukan-Melayu.

Sekiranya DAP berjaya meyakinkan masyarakat bukan Melayu untuk kekal ‘solid’ bersama PH di Selangor dalam PRN nanti, kerusi-kerusi majoriti bukan-Melayu mungkin selamat. DAP sendiri terancam di beberapa kerusi milik mereka yang kini sudah bertukar menjadi majoriti Melayu contohnya di Kuala Kubu Bharu yang kini 50.3 peratus Melayu, Sg Pelek 58.2 peratus Melayu dan Dusun Tua 63 peratus Melayu.

Rekod PH dalam kerajaan sejak 2008 bukanlah rekod mutlak. Antara 2008 ke 2018, PAS bersama mereka dalam kerajaan dan sebahagian tempuh itu Selangor diketuai Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim yang terkenal sebagai Menteri Besar Selangor yang paling bersih, telus dan berwibawa jauh berbeza dari Selangor bawah Menteri Besar hari ini.

Tidak mengapalah jika ADUN PKR Selangor mahu tinggal di bawah tempurung, hakikatnya rakyat Selangor khasnya umat Melayu Islam dari Hulu Selangor ke Sepang, Sabak Bernam ke Ampang bersama ‘Gelombang Hijau’ ini. 

Jika Melayu Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah berupaya mengekalkan jati diri melahirkan kepimpinan Melayu Islam yang berkualiti dan berintegriti, Melayu Selangor juga layak dan pasti menuntut perubahan.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 10/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -