KUALA LUMPUR: Sumber kewangan negara adalah melalui kutipan cukai dan hasil bukan cukai, kata Kementerian Kewangan.
Menurut kementerian itu, bagi tahun 2022, jumlah hasil Kerajaan Persekutuan adalah sebanyak RM294.4 bilion yang merangkumi hasil cukai iaitu RM208.8 bilion manakala hasil bukan cukai pula berjumlah RM85.6 bilion.
Di samping itu, katanya rizab negara yang merujuk kepada rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia pada akhir 31 Disember 2022 adalah berjumlah USD114.6 bilion atau bersamaan dengan RM503.3 bilion.
Kementerian itu menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan Dr Siti Mastura Muhammad [PN-Kepala Batas] di Dewan Rakyat, hari ini.
Dr Mastura dalam soalannya meminta Menteri Kewangan menyatakan perincian sumber kewangan negara dan aset-aset yang dimiliki oleh negara di dalam dan di luar negara.
Selain itu, kata kementerian berdasarkan Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan yang diterbitkan oleh Jabatan Akauntan Negara, jumlah aset yang meliputi rizab emas, wang tunai, pelaburan, akaun belum terima dan pelaburan lain adalah berjumlah RM224.8 bilion sehingga akhir Disember 2021. – HARAKAHDAILY 9/3/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!