KUALA LUMPUR: Status pengambilan tanah dan bayaran kepada penduduk terlibat dengan Projek Lingkaran Tengah Utama atau Central Spine Road (CSR) kini dalam status perbicaraan di mahkamah.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad berkata, pihaknya sedang memproses pengambilan tanah penduduk melalui Akta Pengambilan Tanah Kanun 1960.
“Pakej 1 Kuala Krai ke Sungai Lakit kini dalam tindakan pewartaan ,iaitu Seksyen 4 oleh Pejabat Tanah dan Galian Kelantan. Pakej B dari Berangan Mek Nab ke Keroh, dalam tindakan Jabatan Ketua Pengarah Tanah & Galian Negeri (JKPTG) Kelantan bagi proses pembicaraan.
“Bagi Pakej 3C dari Keroh ke Kuala Krai, juga dalam tindakan JKPTG Kelantan. Pakej B dan Pakej 3C sedang berjalan dan dijangka diproses pada Mei 2023,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Abdul Rahman, kedua-dua projek berkenaan dijangka selesai pada penghujung tahun ini dan Borang K akan dikeluarkan kepada penduduk terlibat.
Sementara itu, proses bayaran kepada penduduk atau pemilik tanah akan dapat diselesaikan sejurus selesai Borang H dikeluarkan JKPTGD Kelantan.
“Jangkaan awal adalah pada akhir tahun Disember 2023 atau selewatnya Januari 2024. Inilah proses perbicaraan yang sedikit mengambil masa dan pengambilan tanah ini kadang-kadang menjadikan sesuatu projek itu agak lewat sedikit daripada jangkaan,” katanya.
Abdul Latiff dalam soalan asal meminta Kementerian Kerja Raya menjelaskan penyelesaian terhadap projek yang gagal disiapkan dalam tempoh ditetapkan dan status terkini Lebuh Raya Kota Baharu – Kuala Krai dan Pakej 2B Ketereh – Kok Lanas. – HARAKAHDAILY 9/3/2023