Perincikan sumber kewangan dan aset negara

Dr Siti Mastura Muhammad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan diminta menyatakan perincian sumber kewangan negara dan aset-aset yang dimiliki oleh negara di dalam dan di luar negara.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad bertanyakan soalan itu pada persidangan Dewan Rakyat yang bermula jam 10.00 pagi, hari ini.

Ahli-ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL yang mengemukakan soalan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan hari ini sebagaimana di bawah.

Tuan Haji Wan Hassan bin Mohd Ramli [Dungun] minta Menteri Pendidikan menyatakan:-

(a) apakah keputusan Kementerian mengenai penyelesaian masalah bagi meringankan beban beg berat dalam kalangan pelajar terutamanya sekolah kebangsaan; dan

(b) adakah Kementerian bercadang untuk menukarkan bahan sistem pendidikan secara fizikal kepada digital yang dapat menjimatkan perbelanjaan Kementerian dalam kos buku teks dan lain-lain.

Tuan Zulkifli bin Ismail [Jasin] minta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya menyatakan apakah usaha dan langkah yang telah diambil untuk membantu pemain industri dalam memanfaatkan teknologi digital dalam sektor pelancongan termasuk cabaran-cabaran dan halangan-halangan yang dihadapi.

Tuan Mohd Nazri bin Abu Hassan [Merbok] minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan Kerajaan telah berusaha bersungguh-sungguh dengan pelbagai kaedah memajukan perusahaan perikanan. Usaha yang dijalankan telah memakan masa dan boleh dianggap telah dewasa. Sehubungan itu, apakah langkah-langkah Kementerian dalam merencana keterjaminan sumber perikanan dan mengurangkan import hasil laut.

Tuan Abdul Latiff bin Abdul Rahman [Kuala Krai] minta Menteri Kerja Raya menyatakan penyelesaian Kerajaan terhadap projek yang gagal disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan dan apakah status terkini Lebuh Raya Kota Baharu – Kuala Krai dan Pakej 2B Ketereh – Kok Lanas.

Tuan Sabri bin Azit [Jerai] minta Menteri Pendidikan menyatakan apakah langkah yang diambil untuk memperkasakan DBP dan ITBM memandangkan kempen amalan membaca dalam kalangan rakyat yang semakin menurun.

Tuan Roslan bin Hashim [Kulim Bandar Baharu] minta Menteri Kewangan menyatakan langkah yang diambil oleh Kementerian Kewangan Malaysia dalam membantu para belia dan pemohon pinjaman perumahan yang dilihat sukar mendapatkan pinjaman institusi kewangan yang kebanyakan menetapkan syarat ketat dan penetapan kriteria tertentu dan menyukarkan para peminjam untuk membeli rumah mampu milik.

Tuan Hassan bin Saad [Baling] minta Menteri Pendidikan menyatakan usaha Kementerian meningkatkan literasi pendidikan dalam konteks 3M (membaca, menulis dan mengira) khususnya di kawasan pedalaman dan luar bandar.

Tuan Zahari bin Kechik [Jeli] minta Menteri Kerja Raya menyatakan langkah-langkah dan tindakan yang telah diambil untuk menaik taraf Jalan Raya Timur Barat untuk menjamin keselesaan dan keselamatan pengguna di laluan tersebut.

Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Haji Abd. Muttalib [Maran] minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan berapa jumlah keluasan tanah terbiar yang dikategorikan sebagai sawah yang tidak dimajukan oleh pemilik (penduduk luar bandar) dan apakah Kementerian berhasrat untuk memajukannya dalam usaha menambah pengeluaran beras negara sekali gus mengurangkan beras yang di import dari negara luar.

Dr. Hajah Halimah Ali [Kapar] minta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan apakah dasar acuan yang digunakan oleh Kementerian untuk membangunkan wanita.

Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin bin Haji Mohd. Yassin [Pagoh] minta Menteri Kewangan menyatakan adakah Kerajaan akan melaksanakan Goods and Services Tax (GST) untuk menambah kutipan hasil negara.

Datuk Haji Awang bin Hashim [Pendang] minta Menteri Kewangan menyatakan sama ada Kerajaan bercadang untuk mengembalikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) menggantikan Cukai Jualan Dan Perkhidmatan (SST) sedia ada serta adakah Kerajaan bercadang untuk meningkatkan hasil pendapatan negara melalui percukaian.

Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad [Bagan Serai] minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan:-

(a) pelan jangka masa panjang Kerajaan bagi menstabilkan harga telur ayam yang menjadi keresahan dalam kalangan rakyat; dan

(b) adakah kesan import telah menaikkan harga telur ayam tersebut.

Datuk Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh [Besut] minta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya menyatakan adakah Kerajaan menyediakan peruntukan bagi pembinaan jeti baru yang lengkap kemudahan bagi keselesaan pelancong dalam negara dan luar negara menaiki feri dan bot untuk ke Pulau Perhentian bagi menggalakkan lebih ramai lagi pelancong datang ke negara kita.

Tuan Che Alias bin Hamid [Kemaman] minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan status terkini inisiatif pelaksanaan SMART Sawah Berskala Besar (SBB) di seluruh negara yang dapat mengeluarkan golongan petani daripada menjadi miskin secara berterusan.

Dato’ Azman bin Nasrudin [Padang Serai] minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan adakah Program Smart SBB akan diteruskan dan dipergiatkan bagi meningkatkan pengeluaran bekalan beras negara.

Tuan Wan Razali bin Wan Nor [Kuantan] minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan jumlah permintaan dalam negara dan kadar pengeluaran dalam negara bagi sumber makanan asas seperti beras, telur, ayam dan daging merah.

Dr. Siti Mastura binti Muhammad [Kepala Batas] minta Menteri Kewangan menyatakan perincian sumber kewangan negara dan aset-aset yang dimiliki oleh negara di dalam dan di luar negara.

Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man [Kubang Kerian] minta Menteri Pendidikan menyatakan jumlah terkini lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dan Diploma Pendidikan yang belum mendapat penempatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan dan apakah langkah Kerajaan untuk mengatasi masalah ini.

Dato’ Rosol bin Wahid [Hulu Terengganu] minta Menteri Kewangan menyatakan adakah Kerajaan bercadang untuk menyemak dan menurunkan had masa menyimpan dokumen percukaian untuk individu kepada empat tahun memandangkan tempoh penyimpanan sebelum ini dilihat membebankan dan tidak mesra pembayar cukai.

Kapten Dato’ Dr. Zulkafperi bin Hanapi (Bersara) [Tanjong Karang] minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan apakah jaminan “Keselamatan Makanan Negara” dalam memastikan bekalan makanan rakyat tidak lagi bergantung kepada import dan bekalan makanan tempatan mencukupi serta menghapuskan peranan ‘kartel makanan’ dalam mempengaruhi bekalan dan harga makanan rakyat Malaysia.

Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi [Kuala Langat] minta Menteri Kerja Raya menyatakan perancangan Kerajaan bagi memastikan kualiti jalan raya persekutuan dapat diselenggarakan dan sentiasa dalam keadaan yang baik terutamanya di Kuala Langat.

Dato’ Hajah Siti Zailah binti Mohd Yusoff [Rantau Panjang] minta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan status kaedah penentuan identiti dan agama anak-anak terdampar (Al-Laqit) yang dijumpai dan telah disahkan tidak menjumpai waris bagi kanak-kanak tersebut. – HARAKAHDAILY 8/3/2023